Banjir berulang kali cabaran besar buat ‘Abang Rashidi’

Banjir berulang kali cabaran besar buat ‘Abang Rashidi’

RASHIDI Razak memastikan infrastruktur jalan raya berada dalam keadaan baik sebagai kemudahan penduduk di kawasannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELUM pun setahun bergelar wakil rakyat, Rashidi Razak sudah berdepan pengalaman getir sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit apabila kawasan itu dilanda banjir besar dalam empat gelombang pada 2024.

Demikian Rashidi yang lebih mesra disapa ‘Abang’ dalam kalangan penduduk di kawasan itu mengimbas kembali perjalanan politiknya itu sejak diberi mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat pada September 2023.

Itu belum termasuk isu Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah Anak Bukit (SKAB) yang belum siap selepas 15 tahun sekali gus mendatangkan pelbagai masalah berbangkit termasuk banjir dan kesesakan jalan di kawasan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sejak mengangkat sumpah bagi jawatan berkenaan, dua perkara itu juga menjadi fokus utama Rashidi yang berikrar untuk sedaya upaya mengurangkan kesengsaraan penduduk di kawasannya ekoran masalah tersebut.

Katanya, sebaik memikul amanah itu terdapat tiga perkara utama yang sentiasa bermain dalam fikirannya iaitu menyediakan kemudahan infrastruktur yang lebih baik, menangani masalah banjir serta membantu meningkatkan ekonomi penduduk kampung.

“Anak Bukit mempunyai tujuh mukim dan sebahagian besar berada di pinggir bandar. Ada kampung dan rumah penduduk yang terletak di tengah-tengah bendang menyebabkan kemudahan asas terutama prasarana dan jalan raya menjadi antara isu utama,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Anak Bukit, Alor Setar baru-baru ini.

Bagi menyelesaikan masalah itu, Rashidi berkata, beliau mengambil pendekatan bertemu pegawai daerah dan agensi berkaitan satu demi satu bagi memohon supaya jalan-jalan yang menjadi nadi perhubungan penduduk kampung dapat dinaik taraf dan dibaiki.

Namun, cabaran sebenar datang pada September 2024 apabila kawasan Anak Bukit dilanda banjir besar dalam empat gelombang yang menjejaskan keseluruhan penduduk di kawasan itu.

“Banjir datang kali pertama, kemudian surut lebih kurang seminggu sebelum datang semula kali kedua, ketiga dan keempat. Gelombang terakhir pula berlarutan sehingga Disember,” katanya.

Pengalaman sebagai wakil rakyat ketika itu juga menjadi ujian besar buat Rashidi kerana beliau terpaksa menguruskan pusat pemindahan sementara (PPS), mencari lokasi perlindungan alternatif untuk mangsa serta memastikan kebajikan keluarga yang terjejas tidak terabai.

“Ada ketikanya saya turun padang berjumpa penduduk di rumah mereka kerana masing-masing tidak mahu berpindah walaupun air naik dengan pantas,” cerita beliau.

Bagi membantu mangsa banjir, beliau turut menggerakkan Dapur Rakyat yang menyediakan makanan kepada kira-kira 2,000 mangsa sehari selain menggunakan dana sumbangan orang ramai, kutipan parti dan wang simpanan sendiri untuk memastikan bantuan dapat diteruskan.

Di sebalik usaha membantu rakyat, Rashidi melihat punca utama masalah banjir di kawasan itu perlu ditangani secara menyeluruh khususnya keadaan Sungai Anak Bukit yang didakwanya semakin cetek akibat mendapan lumpur, kayu dan pokok tumbang.

Beliau yang lahir dan dibesarkan berhampiran Sungai Anak Bukit berkata, keadaan sungai itu jauh berubah berbanding ketika zaman kanak-kanaknya apabila terdapat lokasi yang kini hanya mempunyai kedalaman sekitar tiga kaki.

 

Selain isu sungai, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kelewatan projek RTB Sungai Anak Bukit yang bermula sejak 2011 tetapi sehingga kini masih belum siap sepenuhnya.

“Projek ini sudah bertukar daripada kontraktor lama kepada kontraktor baharu pada 2020 dan sudah menerima enam lanjutan masa atau EOT. Tarikh akhir disebut adalah 30 Januari 2027, tetapi persoalannya, sempatkah semuanya disiapkan?” katanya.

Menurut Rashidi, projek RTB itu melibatkan empat jambatan di kawasan itu termasuk struktur penting di Kuala Sungai dan Jalan Gunung Keriang itu manakala kelewatan pelaksanaannya bukan sahaja mengganggu penduduk malah memberi kesan kepada sistem pengurusan banjir yang lebih besar di sekitar Alor Setar.

Bagi beliau, Anak Bukit tidak boleh dipandang sebagai masalah kecil kerana selagi projek RTB dan sistem saliran tidak diselesaikan, risiko banjir akan terus menghantui kawasan itu dan turut memberi kesan kepada ibu negeri Kedah.

“Saya sering menyuarakan isu ini dalam Sidang Dewan Undangan Rakyat (DUN) dan akan terus bersuara sehingga projek ini siap,” janjinya.

Pada sisi lain, kata Rashidi, ekonomi penduduk di kawasan itu juga menjadi tumpuannya termasuk memastikan penduduk mempunyai pendapatan tambahan.

“Banyak program yang saya buat untuk penduduk seperti projek pembenihan ikan dan udang galah dalam sungai di sekitar kawasan ini. Di Anak Bukit ada sungai yang sudah lama lesu jadi saya mohon benih ikan dan udang galah daripada agensi berkaitan untuk dilepaskan di sini,” katanya.
Jujurnya, kata Rashidi, semua cabaran membangunkan penduduk di kawasannya itu bukan terlalu berat sebaliknya amanah yang perlu dipikul sebaik mungkin.

“Ada yang kata jadi wakil rakyat boleh kaya, kumpul dan simpan duit, bagi saya memang tidak. Kadang-kadang ada orang datang mengadu elektrik dan air hendak dipotong, suami sakit atau terlibat kemalangan. Takkan kita hendak suruh mereka balik begitu sahaja. Kalau dana tidak cukup memang kena keluar dari poket sendiri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×