KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) sedia mencabar perintah penggantungan semua kegiatan gabungan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dengan menubuhkan pasukan perundangan bagi menentukan tindakan sewajarnya terhadap keputusan berkenaan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pasukan peguam kini meneliti tindakan undang-undang yang boleh diambil berdasarkan peruntukan sedia ada termasuk mempersoal kesahihan perintah penggantungan tersebut.
Katanya, beberapa pilihan sedang dipertimbang antaranya memohon perintah injunksi sementara bagi menghalang pelaksanaan penggantungan atau mendapatkan pengisytiharan mahkamah sama ada perintah RoS itu sah atau sebaliknya.
“Kita dalam proses untuk mengambil tindakan undang-undang bersesuaian menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada. Kita akan buat dalam masa terdekat ini.
“Bukanlah tindakan tetapi kita mempersoal tindakan itu dari sudut perundangan terhadap pihak yang mengambil tindakan (RoS),” katanya selepas Majlis Perasmian Karnival Cakna Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bunut Payong, di sini hari ini.
Takiyuddin berkata, antara perkara yang dipersoal PN adalah motif RoS mengeluarkan notis tunjuk sebab pada hari Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusof mengisytiharkan DUN Melaka dibubarkan dan perintah penggantungan pada hari pembubaran DUN Melaka berkuat kuasa.
“Pasukan peguam sedang meneliti perkara itu dan esok saya ada mesyuarat bersama peguam-peguam di Kuala Lumpur. Jadi kita akan putuskan apa ‘mode of action’ atau jenis tindakan yang sesuai,” ujarnya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menjelaskan PN boleh memohon perintah injunksi sementara bagi menghalang pelaksanaan perintah penggantungan yang dikeluarkan RoS, khususnya jika tindakan itu menjejaskan penyertaan gabungan itu dalam PRN Melaka. – UTUSAN










