MELAKA: Perbezaan parti politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha mencapai kesepakatan dalam perkara yang menyentuh kepentingan agama, bangsa dan negara.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, gerakan penyatuan ummah dan perpaduan perlu terus diusahakan dengan berpaksikan Perlembagaan Persekutuan serta menghormati hak semua warganegara.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kekuatan politik orang Melayu melalui saluran demokrasi juga penting bagi memastikan hak dan kepentingan yang dijamin Perlembagaan terus dipelihara.
“Bagi orang Melayu, memelihara hak dan kepentingan yang dijamin Perlembagaan menuntut kekuatan bersama. Termasuk kekuatan politik melalui saluran demokrasi.
“Sebab itu, gerakan penyatuan ummah, perpaduan ummah perlu terus diusahakan agar perbezaan parti tidak menghalang kita mencapai kesepakatan dalam perkara yang menyentuh kepentingan agama, bangsa dan negara.
“Kesepakatan dibina perlu berpaksikan Perlembagaan serta menghormati hak semua warganegara,” katanya ketika berucap dari sudut pandangan pengasas program Musyawarah Nasional 3.0 Membongkar Polemik Tanah Melayu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, sejarah tanah air perlu difahami secara menyeluruh dan berasaskan fakta, bukannya digunakan sebagai alat untuk mengukuhkan prasangka atau memecah-belahkan masyarakat.
Katanya, sejarah Melayu perlu diiktiraf tanpa menafikan sejarah masyarakat lain termasuk Orang Asli di Semenanjung.
“Kita mesti cukup yakin untuk mempertahankan sejarah sendiri dan cukup jujur untuk mengiktiraf sejarah Orang Melayu,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dibaca secara terpilih dengan hanya mengambil peruntukan yang menyebelahi sesuatu pendirian.
Sebaliknya, katanya, kedudukan orang Melayu, anak negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah masyarakat lain perlu difahami dalam kerangka Perlembagaan secara menyeluruh.
Ahmad Zahid berkata, kefahaman mengenai sejarah dan asas kenegaraan juga perlu diperkukuh dalam kalangan generasi muda bagi memastikan mereka mampu menilai maklumat serta membezakan fakta dengan dakwaan yang disebarkan di media sosial.
Beliau mencadangkan tiga langkah utama iaitu memperkukuhkan pendidikan sejarah, membina kefahaman bersama mengenai asas negara serta mengkaji keperluan kerangka perundangan khusus bagi memelihara keharmonian negara.
Katanya, usaha menangani hasutan kebencian perlu dilakukan menerusi peruntukan yang jelas dan proses yang adil, namun ruang untuk kajian akademik, perbahasan berasaskan fakta serta kritikan yang sah mesti terus dipelihara.
Menurutnya, konsep AKAR diperkenalkan sebagai pegangan hasil Musyawarah Nasional, iaitu asal-usul difahami dengan ilmu, kenegaraan berpaksikan Perlembagaan, adab dalam mengurus perbezaan dan rakyat yang berkongsi masa depan.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan perbahasan mengenai sejarah tidak sekadar memenangkan hujah mengenai masa lalu, sebaliknya membantu membina masa depan negara secara bersama. – UTUSAN











