SHAH ALAM: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook masih belum menyerahkan surat perletakan jawatannya sebagai anggota kabinet kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, beliau masih menunggu surat tersebut sebelum kedudukan Setiausaha Agung DAP itu dapat ditentukan.
“Tunggu surat,” ringkasnya ketika ditemui pada Himpunan Mesra Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.
Ahad lalu, Utusan Malaysia melaporkan Anwar tidak menolak kemungkinan rombakan kabinet akan diadakan susulan hasrat Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook meletakkan jawatan daripada kabinet.
Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Kewangan ketika itu berkata sudah dimaklumkan oleh Anthony sendiri mengenai perkara itu dan kedudukan beliau serta keputusan rombakan kabinet itu akan ditentukan selepas mengadakan pertemuan dengannya dalam masa terdekat.
Minggu lalu, Anthony Loke dilapor menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang berlangsung hampir tiga jam bermula pukul 3 petang. – UTUSAN











