PETALING JAYA: Beregu campuran Malaysia, C. Ameeshanraj-Rachel Arnold mempamerkan aksi serba tidak menjadi dan terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa pada separuh akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Nagoya, Jepun, hari ini.
Ameeshanraj-Arnold yang diletakkan sebagai pilihan kedua tewas kepada pasangan Hong Kong, Lai Cheuk Nam-Toby Tse 10-11, 7-11 dalam masa 19 minit di Nagoya Kinju-Futo Arena.
Pada Temasya Hangzhou, empat tahun lalu, Malaysia memenangi pingat perak menerusi Mohammad Syafiq Kamal-Aifa Azman, namun, kali ini tiada wakil negara di pentas akhir, esok.
Rachel berkata, permainannya dengan Ameeshanraj serba tidak menjadi, hari ini, dan mungkin perubahan gelanggang juga menjadi faktor mereka bergelut dengan prestasi.
“Sebelum ini kami bermain di gelanggang biasa, tetapi, hari ini kami beraksi di gelanggang kaca. Saya rasa kami bergelut untuk mengawal permainan rali dan lawan pula beraksi dengan lebih terkawal.
“Taktikal kami juga serba tidak menjadi dan secara keseluruhan pingat gangsa di Sukan Asia, ia satu peningkatan sebenarnya sebab saya gagal raih sebarang pingat dalam acara ini pada temasya lepas,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan berakhir.
Sementara itu, sewaktu ditanya mengenai faktor pengadilan menjadi punca kekalahan, Ameeshanraj memberitahu, dia enggan menyalahkan sesiapapun di atas kekalahan mereka kerana tidak mudah untuk berada di kedudukan pengadil.
“Biasalah apabila kedudukan mata cukup rapat dan tiba-tiba pengadil membuat keputusan tidak berpihak kepada kami, ia memang amat mengecewakan.
“Kami seharusnya mengawal emosi dengan lebih baik dan tidak boleh selalu menyalahkan pengadil untuk apa jua keadaan. Jadi, kadang kala kita kena bertanggungjawab kesilapan sendiri,” ujarnya. – UTUSAN











