SEREMBAN: Tiada mana-mana pihak akan dilindungi sekiranya siasatan kes kematian seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba di Kuala Pilah semalam mendapati wujud sebarang salah laku atau pelanggaran undang-undang.
Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) memberitahu, siasatan kini sedang dijalankan oleh polis dan JPNS memberikan kerjasama sepenuhnya.
Pada masa yang sama, kata jabatan itu, JPNS turut menjalankan semakan terhadap aspek pengurusan, pengawasan dan keselamatan murid di asrama sekolah berkenaan.
“JPNS menzahirkan rasa dukacita atas pemergian seorang pelajar yang ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah asrama sekolah di Kuala Pilah malam tadi.
“Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan yang amat berat ini. Menteri Pendidikan bersama Pengarah JPNS telah hadir ke hospital dan bertemu sendiri dengan ahli keluarga Allahyarham bagi menyampaikan ucapan takziah dan rasa simpati atas kehilangan tersebut,” kata JPNS dalam kenyataan hari ini.
Malam tadi, mangsa, Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sekolah berkenaan.
Allahyarham dipercayai menjadi mangsa buli.
JPNS memberitahu, keutamaan jabatan itu ketika ini adalah keluarga Allahyarham dengan khidmat kaunseling turut disediakan kepada para pelajar yang terkesan dengan kejadian itu.
“JPNS meminta semua pihak menghormati keluarga Allahyarham serta mengelakkan spekulasi atau penyebaran maklumat yang belum disahkan sementara siasatan masih berjalan,” kata jabatan tersebut. – UTUSAN











