PRN Melaka: PN digantung,  komponen boleh guna simbol bulan

PRN Melaka: PN digantung,  komponen boleh guna simbol bulan

PN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Semua parti komponen Perikatan Nasional (PN) boleh menggunakan logo Pas iaitu bulan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya perintah penggantungan kegiatan gabungan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berterusan sehingga pilihan raya berkenaan berlangsung.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah itu boleh dilaksanakan meskipun parti-parti politik berkenaan tidak berada dalam satu gabungan kerana ia bukan satu kesalahan dari sudut undang-undang pilihan raya.

Katanya, seseorang calon tidak semestinya bertanding menggunakan logo partinya seperti yang dilakukan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menggunakan logo PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada 2018 semua parti komponen Pakatan Harapan (PH) guna logo PKR sedangkan PH belum ada pada masa itu. Jadi apa salahnya kalau parti-parti di bawah PN guna logo Pas.

“Tidak semestinya parti-parti itu menggunakan logo sendiri dan boleh guna logo mana-mana parti yang menunjukkan mereka ini bersama-sama walaupun tidak ada satu penggabungan,” katanya selepas Majlis Perasmian Karnival Cakna Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bunut Payong di Lembah Sireh, di sini hari ini.

Setiausaha Agung Pas itu berkata, pihaknya mahu melihat Bersatu turut menggunakan logo sendirimpada PRN Melaka nanti.

“Kita mahu tengok keadaan itu. Yang penting Pas tidak ada masalah untuk guna logo sendiri dan kita mahu Bersatu juga guna logo mereka di Melaka nanti. Kita tengok macam mana,” ujarnya.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, PN tidak terjejas sekiranya Bersatu memilih keluar daripada gabungan itu pada PRN Melaka kerana masih mempunyai lima parti komponen lain.

Beliau yakin ikatan kerjasama antara Pas, Parti Wawasan Negara (Wawasan), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kekal mantap.

“Sekarang PN ada enam parti dan jika Bersatu pilih mahu keluar, kita masih ada lima parti. Sesuailah sempena PRN Melaka, kita ibarat lima sahabat, iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu dan Hang Kasturi.

“Jadi PN ini walaupun dipecahkan, kita masih lima sahabat dan hubungan antara lima parti ini masih intim dan mantap. Itu kita boleh sahkan,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×