WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menolak cadangan Iran untuk membuka semula Selat Hormuz dan menghentikan pertempuran di rantau itu dalam tempoh tujuh hari.
Menurut laporan Wall Street Journal pada Jumaat yang memetik pegawai AS tanpa mendedahkan identiti, Trump turut memberitahu pembantunya beliau menjangka operasi pengeboman disambung selepas pilihan raya Kongres pada November.
Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi, berkata Teheran menyampaikan pelan damai kepada AS menerusi pengantara Qatar, ketika berucap kepada pemberita di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin.
Beliau berkata, persetujuan antara kedua-dua negara akan mencetuskan tempoh tujuh hari untuk membuka semula Selat Hormuz serta menghentikan sementara pertempuran di rantau berkenaan.
“Jika terdapat kesungguhan di pihak AS untuk mencapai persetujuan dan membuka semula Selat Hormuz, segala-galanya kini sudah tersedia,” katanya.
Sementara itu, seorang pegawai AS memberitahu Reuters, Washington dan Teheran sedang mengadakan perbincangan positif dan membina melalui orang tengah.
Bagaimanapun, menurut laporan Wall Street Journal (WSJ), Trump secara peribadi meragui Iran akan memenuhi tuntutan yang dikemukakan AS.
Beliau memberitahu kakitangannya bahawa kempen pengeboman baharu berkemungkinan akan dilancarkan, menurut laporan WSJ.
Usaha diplomatik yang berlangsung sekitar Perhimpunan Agung PBB di New York menunjukkan konflik yang sudah berlarutan selama tujuh bulan itu memberi kesan besar kepada dunia, selepas mengganggu aliran minyak melalui salah satu laluan perkapalan paling penting di dunia serta menarik penglibatan kuasa serantau dan dunia.
Araqchi berkata, jika AS bersetuju, pihak yang bertelagah boleh memulakan rundingan lebih luas mengenai perkara yang dipersetujui bersama.
Di bawah cadangan itu, Teheran akan membuka semula Selat Hormuz dan semua permusuhan dihentikan di semua medan, termasuk di Lubnan.
Sebagai balasan, pelan berkenaan menghendaki AS menarik balik sekatan terhadap pelabuhan Iran, membebaskan dana Iran yang dibekukan serta mengetepikan sekatan minyak terhadap negara itu.
Cadangan tujuh hari yang dikemukakan Iran itu dibuat selepas beberapa usaha diplomatik sebelum ini gagal menamatkan perang yang bermula pada 28 Februari susulan serangan AS dan Israel.











