PETALING JAYA: Pas bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk UMNO namun usaha itu perlu berlandaskan keikhlasan tanpa sebarang agenda tersembunyi.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Pas tidak mahu keikhlasannya dimanfaatkan untuk kepentingan parti lain.
“Kita pun nak ingatkan kepada rakan-rakan kita, nak pakat dengan kita, kami pun pandailah. Betul, kami ikhlas, tapi kami tak bodoh.
“Jangan pergunakan saya untuk kepentingan parti anda, tetapi kita sama-sama ikhlas untuk jalin kerjasama tanpa ada agenda tersembunyi,” katanya seperti dipetik dalam Facebook beliau.
Menurut beliau, mana-mana pihak yang mahu bekerjasama dengan Pas perlu bersedia melakukan pengorbanan dan tidak hanya mengharapkan balasan atau kepentingan tertentu.
“Negara ini perlu orang-orang ikhlas. Yang sedia memberi.
“Rakan-rakan kita, khususnya UMNO, berkorbanlah macam orang Pas berkorban. Jangan cari kepentingan diri,” katanya.
Sanusi turut menggesa rakan politik dalam UMNO mempelajari budaya kerja dan pengorbanan yang diamalkan Pas
“Buat macam orang PAS bekerja. Memberilah, jangan mengharap balasan. Itu cara orang Pas.
“Rakan-rakan kita dalam UMNO yang telah terbiasa dengan kemewahan sebelum ini, ketika lama jadi kerajaan, mari belajar dengan Pas.
“Kutip derma, jangan asyik nak minta. Jangan asyik nak projek. Berkorban, bukan mengharap balasan, bukan mencari peluang untuk kembali semula macam dulu,” katanya.
Sebelum ini, Sanusi dilaporkan menegaskan Pas tidak akan memberikan kerusi yang dimenanginya kepada UMNO di negeri lain sekiranya parti itu tidak bersedia memberi laluan kepada Pas untuk bertanding di Melaka.
Beliau berkata, rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti masih berjalan dan menyifatkan perkembangan rundingan itu sebagai ‘ding dong, ding dong’. – UTUSAN











