PN boleh mohon injunksi halang penggantungan – Peguam

PN boleh mohon injunksi halang penggantungan – Peguam

LAPORAN muka hadapan Utusan Malaysia, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) boleh memohon perintah injunksi sementara bagi menghalang pelaksanaan perintah penggantungan yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) khusus­nya jika tindakan itu menjejaskan penyertaan gabungan berkenaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, permohonan itu boleh dibuat bersama tindakan semakan kehakiman bagi mencabar kesahan perintah penggantungan berkenaan.

Beliau berkata, langkah ber­kenaan boleh dipertimbangkan sekiranya PN berpandangan penggantungan tersebut tidak adil atau tidak berpandukan undang-undang sehingga menjejaskan perancangan politik gabungan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau apa yang telah dirancang dan distrategikan oleh PN untuk PRN Melaka terjejas dise­babkan perintah penggantu­ngan sementara kerana mereka tidak boleh membuat aktiviti ceramah, tidak boleh meletakkan calon atas nama PN dan sebagainya, mereka berhak di bawah undang-undang untuk melantik peguam dan memfailkan tindakan di mahkamah.

“Sementara tindakan dibica­rakan, mereka boleh memohon perintah injunksi sementara untuk menghalang pelaksanaan perintah penggantungan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam akhbar ini melaporkan, PN berdepan kemungkinan tidak dapat ber­tanding pada PRN Melaka susulan perintah penggantungan yang dikeluarkan RoS.

Perintah menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa Rabu lalu sehingga tempoh yang tidak ditetapkan itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai status gabungan itu untuk menyertai PRN Melaka yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, PN sedang mengambil langkah segera melalui proses undang-undang susulan tindakan RoS yang menggantung semua ke­giatan gabungan itu.

Haniff berkata, permohonan injunksi itu bagaimanapun tidak bermakna PN secara automatik dibenarkan menyertai PRN Melaka kerana ia bergantung kepada keputusan mahkamah berdasarkan fakta dan hujah undang-undang yang dikemukakan kedua-dua pihak.

“Boleh failkan, tetapi dapat atau tidak kena tunggu mahkamah membuat keputusan tertakluk kepada fakta dan dasar undang-undang yang akan dirujuk oleh pihak PN mahupun RoS.

“Walaupun ada duluan, mak­sudnya undang-undang mem­benarkan kita memfailkan per­mohonan tetapi sama ada mahkamah mahu membenarkan atau tidak tertakluk kepada fakta khusus, latar belakang dan prinsip undang-undang,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×