MotoGP kekal di Portugal hingga 2029

MotoGP kekal di Portugal hingga 2029

Aksi pelumba MotoGP dalam saingan Grand Prix Austria, baru-baru ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LISBON: Kejuaraan MotoGP akan terus berlangsung di Portugal selepas perjanjian baharu dimeterai untuk mengekalkan Grand Prix (GP) Portugal di Litar Antarabangsa Algarve, Portimao sehingga sekurang-kurangnya 2029.

Portimao kembali dalam kalendar MotoGP pada 2020 selepas lapan tahun tidak menjadi tuan rumah, apabila litar itu dipilih untuk mengisi slot perlumbaan penutup musim yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Litar itu kemudian menjadi tuan rumah dua perlumbaan pada musim 2021 sebelum disenaraikan sekali dalam kalendar pada setiap musim berikutnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

GP Portugal 2026 dijadualkan berlangsung sebagai pusingan kedua terakhir musim ini sebelum perlumbaan penutup di Valencia.

Presiden Pelancongan Algarve, Andre Gomes berkata, lanjutan kontrak itu memberi manfaat besar kepada wilayah berkenaan, khususnya dari aspek pelancongan dan ekonomi.

“Memastikan MotoGP kekal di Algarve sehingga 2029 merupakan berita yang sangat baik untuk wilayah ini.

“Ia adalah acara yang mempunyai keterlihatan antarabangsa yang besar, menarik ribuan pengunjung, menjana perniagaan dan meningkatkan profil destinasi ini.

“Acara besar seperti ini membantu Algarve mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi sepanjang tahun serta antara destinasi pelancongan antarabangsa terkemuka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MotoGP, Carlos Ezpeleta berkata, Litar Antarabangsa Algarve yang mempunyai susun atur mencabar telah menghasilkan beberapa perlumbaan menarik sejak diperkenalkan dalam kalendar.

“Susun atur litar yang mencabar telah menghasilkan perlumbaan yang tidak dapat dilupakan dan dengan pantas menjadi antara lokasi kegemaran pelumba serta peminat.

“Kami teruja untuk terus membina momentum ini, menjadikan acara ini sebagai sambutan MotoGP yang lebih besar serta memberikan pengalaman tidak dapat dilupakan kepada peminat di seluruh Portugal,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×