NEW YORK: Negara-negara kaya perlu memainkan peranan yang adil dalam membantu negara yang paling kurang bertanggungjawab terhadap krisis iklim tetapi menanggung kesan paling buruk, kata Menteri Luar Nepal, Shisir Khanal kepada AFP pada Khamis.
Negara Himalaya itu dilanda antara bencana paling dahsyat dalam sejarahnya pada penghujung bulan lalu apabila banjir seperti tsunami, yang berpunca daripada runtuhan glasier gunung di altitud tinggi di sempadan Nepal-China, memusnahkan kawasan yang luas.
Lebih 1,400 orang terbunuh, manakala 6,000 lagi masih hilang dan kemusnahan ekonomi dianggarkan mencecah berbilion dolar.
“Apa yang kami cuba sampaikan kepada dunia ialah isu perubahan iklim ini bukan lagi sesuatu yang bersifat teori.
“Semua ini semakin menjadi kenyataan dan kekerapan bencana seperti ini berkemungkinan meningkat dalam beberapa tahun akan datang apabila suhu meningkat, glasier mencair,” kata Khanal dalam temu bual di misi tetap Nepal ketika minggu peringkat tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Saintis daripada Atribusi Cuaca Dunia (WWA) menyifatkan kejadian itu sebagai ‘krisis berganda’, apabila ketidakstabilan geologi setempat bergabung dengan pemanasan jangka panjang yang menyebabkan glasier berundur dan permafrost mencair.
Khanal berkata, Nepal hanya menyumbang dalam jumlah yang sangat kecil kepada kemerosotan sistem iklim global.
Lebih 90 peratus tenaga elektrik negara itu dijana melalui tenaga hidro, lebih 70 peratus kereta baharu yang dijual adalah kenderaan elektrik, manakala Nepal hanya menyumbang 0.1 peratus daripada pelepasan gas rumah hijau global.
“Jadi mengapa kami yang tidak menyumbang kepada masalah ini perlu menanggung beban sepenuhnya?
“Negara kaya bukan sahaja perlu membantu apabila bencana berlaku, tetapi menyediakan pembiayaan supaya kami dapat membina komuniti yang lebih berdaya tahan,” katanya.
Khanal berkata, pertemuannya di New York membuahkan hasil, dengan Amerika Syarikat (AS) mengumumkan bantuan baharu bernilai AS$31 juta (RM126.28 juta) untuk pemulihan banjir.
Kumpulan Tujuh (G7) secara tidak rasmi turut menjanjikan sokongan dalam satu pertemuan pada Rabu, katanya, manakala Britain juga berikrar untuk membantu.
Namun, skala cabaran itu amat besar dengan anggaran awal kerajaan Nepal meletakkan kos bencana berkenaan pada AS$5 bilion (RM20.36 bilion).
Nepal meminta AS$20 juta (RM81.47 juta) daripada Dana Kerugian dan Kerosakan PBB, iaitu jumlah maksimum yang dibenarkan, namun angka itu hanya sebahagian kecil daripada keperluan negara berkenaan.
Dana yang ditubuhkan pada 2022 susulan banjir dahsyat di Pakistan itu masih belum menyalurkan bantuan pertamanya dan mengalami kekurangan sumbangan yang serius, manakala kumpulan pejuang keadilan iklim melihat Nepal sebagai ujian penting terhadap kredibilitinya.
Bagaimanapun, Khanal berkata, beliau terdorong dengan bantuan kewangan dan pasukan penyelamat yang dihantar negara jiran Nepal, selain sumbangan diaspora Nepal yang menyalurkan wang secara terus kepada Dana Bantuan Perdana Menteri.
Sebelum ini, katanya, diaspora Nepal lebih gemar menderma kepada pertubuhan antarabangsa dan badan bukan berasaskan keuntungan tempatan, namun keadaan berubah sejak pelantikan Perdana Menteri baharu, Balendra Shah, bekas penyanyi rap yang meraih kuasa hasil gerakan diketuai golongan muda.
Bekas pegawai Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) ketika pentadbiran Joe Biden, Jeremy Konyndyk mengkritik pentadbiran Presiden, Donald Trump kerana melakukan pemotongan besar-besaran bantuan kepada Nepal selepas mengambil alih pentadbiran, termasuk bantuan untuk ramalan banjir dan inventori glasier.
Katanya, Nepal kini memerlukan lebih banyak bantuan sedemikian daripada masyarakat antarabangsa untuk membangunkan sistem yang lebih kompleks melibatkan satelit bagi memantau kadar pencairan glasier dan menyediakan amaran awal.-AFP











