‘The next’ Alif Satar? Belum lagi ... - Utusan Malaysia

‘The next’ Alif Satar? Belum lagi …

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nampaknya pelakon muda, Mierul Aiman semakin hari semakin menjadi sebutan. Bukan sahaja kerana lakonannya yang semakin mencuri perhatian, malah ada pula yang mula membandingkan pelakon muda itu dengan figura serba boleh, Alif Satar.

Bukan Cik Bunga mahu merendahkan Mierul, jauh sekali. Malah kalau bercakap tentang bakat lakonan semata-mata, Cik Bunga sendiri tidak menafikan Mierul memang ada sesuatu yang istimewa.

Cuma, kalau mahu dibandingkan secara keseluruhan sebagai seorang penghibur, rasanya perbandingan itu agak tidak seimbang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Alif Satar sudah lama membina nama sebagai seorang all-rounder. Menyanyi boleh, berlakon boleh, mengacarakan program pun boleh. Malah, perjalanan kerjayanya turut berkembang kepada pelbagai bidang lain di luar lakonan dan nyanyian.

Mierul pula, biarpun masih muda dalam industri, sedang membina identitinya dengan lebih kuat menerusi lakonan.Dan kalau itulah gelanggang yang mahu dibandingkan, Cik Bunga rasa Mierul memang ada kelebihan tersendiri. Bakat lakonan Mierul nampak lebih intens dan pelbagai.

Daripada watak Fakhri dalam Projek: High Council sehinggalah perkembangan kerjayanya dalam beberapa projek selepas itu, Mierul semakin memperlihatkan kemampuan untuk membawa karakter dengan lapisan emosi yang berbeza.

Perjalanannya daripada watak sokongan kepada watak utama juga menunjukkan perkembangan yang agak ketara.

Malah, menariknya, Alif sendiri pernah memuji Mierul sebagai antara pelakon baharu yang mempunyai potensi besar dan menyatakan hasrat untuk berlakon bersamanya jika ada rezeki. Alif juga menyifatkan Mierul sebagai seorang pelakon yang bijak ‘menjual’ dirinya menerusi lakonan.

Jadi, tidak perlulah terlalu cepat meletakkan Mierul dalam acuan Alif. Bagi Cik Bunga, Alif ialah Alif. Mierul ialah Mierul.

Kalau mahu bercakap tentang pakej seorang penghibur, Alif sudah melalui perjalanan yang jauh lebih panjang. Dia membina nama bukan sahaja melalui lakonan, tetapi juga nyanyian dan pengacaraan, selain pelbagai aktiviti serta komitmen lain dalam industri dan di luar industri seni.

Mierul pula baru sahaja memulakan langkah yang lebih besar dalam kerjaya lakonannya. Jadi, mahu mengatakan dia sudah setara dengan Alif daripada segi keseluruhan pakej hiburan itu, bagi Cik Bunga, belum sampai tahap itu lagi.

Kalau hendak kira, Mierul mungkin baru mencapai sebahagian daripada perjalanan yang Alif sudah lalui. Tetapi jangan pula salah faham. Cik Bunga bukan kata Mierul kurang berbakat.

Malah, kalau diberikan peluang, watak yang tepat dan naskhah yang kuat, Cik Bunga percaya Mierul mampu pergi lebih jauh sebagai pelakon. Dia mempunyai ruang untuk meneroka emosi, karakter dan genre yang lebih pelbagai.

Tambahan pula, projek-projek terbaharunya menunjukkan dia sedang bergerak keluar daripada imej sekadar ‘hero muda’ kepada karakter yang lebih mencabar.

Jadi, kalau ada yang kata Mierul boleh menjadi seperti Alif Satar, Cik Bunga cuma mahu betulkan sedikit ayat itu. Ini pandangan Cik Bunga. Apa pula kata anda?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×