KUALA LUMPUR: Selepas melalui pelbagai pengalaman dalam tempoh hampir tujuh bulan bersama ERA FM, Bella Astillah kini dilihat lebih matang dalam mempersiapkan diri menuju alam rumah tangga bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Penyampai radio, Nabil Ahmad berkata, perubahan itu jelas dilihat sepanjang Bella menyertai segmen 3 Pagi ERA FM, malah dia sendiri menyaksikan perjalanan pelakon dan penyanyi berkenaan daripada melalui fasa sukar sehingga mengikat tali pertunangan.
“Daripada apa yang kita sudah nampak dan lalui, saya rasa Bella sudah semakin matang. Malah, tempoh hari Bella ada bertanya, ‘bang, macam abang dengan Zira ini sudah 15 tahun, Pak Azad (rakan penyampai) pun sudah 14 tahun, 15 tahun,” katanya.
Nabil ditemui pada pelancaran kempen Beli Kain Dapat Emas 2026 anjuran Jakel di Jakel Mall, di sini, hari ini.
Menurut Nabil yang juga bapa kepada tiga cahaya mata, Bella sebelum ini turut meminta pandangan mengenai kehidupan berumah tangga, khususnya daripada perspektif seorang lelaki.
“Dia tanya pandangan dari sudut lelaki. Jadi, saya cakap dengan dia, lelaki ini kadang-kadang kena beri ruang juga. Bella kena jadi seseorang yang sentiasa menyokong dan sebagainya.
“Tetapi apa yang kita nasihatkan itu, saya rasa dia sudah buat. Dia memang sedang buat. Cuma ujian tetap akan datang. Dalam apa-apa perkahwinan pun, ujian tetap akan datang. Jadi, apabila ujian itu datang, kita kena sentiasa bersedia. Mungkin kita perlu sentiasa bersedia dalam apa juga keadaan,” katanya.
Berkongsi mengenai perubahan Bella, Nabil berkata, dia gembira melihat rakan penyampainya itu kini berada dalam fasa kehidupan yang lebih positif selepas melalui pelbagai perkara sebelum ini.
“Saya gembira sebab Bella sudah bersama kami di 3 Pagi ERA FM selama berbulan-bulan. Saya rasa hampir enam bulan lebih, mungkin dekat tujuh bulan.
“Jadi, sepanjang tempoh itu, kita nampak perjalanan dia dari awal sampai ke majlis pertunangan dan sekarang sudah nak berkahwin. Memang sangat-sangat gembira untuk dia selepas segala yang sudah dilaluinya,” katanya.
Jelas Nabil, perubahan paling ketara dapat dilihat menerusi keceriaan Bella ketika berada di konti berbanding ketika mula menyertai ERA FM.
“Tengok dia sekarang semakin gembira sebenarnya. Saya masih ingat ketika kali pertama dia masuk dulu, ada minggu-minggu yang dia nampak agak ‘down’ kerana sebagai manusia ini ada masa kita rasa tidak begitu baik.Tetapi sekarang ini apabila dia masuk konti, hanya bercerita mengenai kahwin saja.
“Jadi, sebagai abang, saya, Pak Azad dan Radin, bila tengok dia macam itu, memang kita raikan. ERA FM buat apa yang patut. Kami jadi ‘groomsmen’ untuk dia semalam,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai peranan yang bakal dimainkan pada hari bahagia Bella dan Syed Saddiq, Nabil enggan berkongsi lebih lanjut.
“Kena tunggu 10 Oktober ini, tak boleh beritahu,” katanya ringkas.
Sebelum ini, Syed Saddiq dan Bella mengesahkan mereka bakal disatukan sebagai suami isteri pada 10 Oktober depan.
Majlis pernikahan pasangan itu dijadualkan berlangsung di aras 118, Menara Merdeka Maybank, di sini, dengan konsep serba putih yang disulami elemen Arab atau Islamik atas permintaan keluarga.
Syed Saddiq dan Bella dilaporkan mula berkenalan dengan lebih rapat pada 2025 sebelum mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.











