WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menjadi tuan rumah makan malam rasmi untuk pemimpin China, Xi Jinping di Rumah Putih pada Khamis menerusi acara penuh istiadat sepanjang hari yang cuba menutup ketegangan mendalam antara dua kuasa besar itu.
Ramai tokoh gergasi teknologi AS menghadiri jamuan berkenaan, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk; Pengerusi Eksekutif Apple, Tim Cook; Presiden Nvidia, Jensen Huang dan Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman, sekali gus menunjukkan perdagangan dan kecerdasan buatan (AI) menjadi antara agenda utama lawatan Jinping.
Penunjuk perasaan berkumpul di luar Rumah Putih ketika Trump dan isterinya, Melania menyambut Jinping serta isterinya, Peng Liyuan untuk makan malam berkenaan.
Kumpulan demonstrasi itu melaungkan slogan termasuk ‘Xi Jinping tidak dialu-alukan’ dan ‘Bebaskan Hong Kong’, menurut wartawan AFP di lokasi.
Pada awal hari itu, Trump mengisytiharkan beliau dan Jinping mencapai kemajuan besar ketika beliau mengadakan acara penuh istiadat termasuk perarakan tentera, pertunjukan udara dan lawatan ke tapak helipad baharu di Rumah Putih.
“Presiden Jinping dan saya memahami bahawa kami mewakili sistem yang berbeza, tetapi hubungan antara rakyat kita tetap berkekalan.
“Kami mengadakan pertemuan yang hebat,” kata Trump, ketika kedua-dua pemimpin tidak menjawab soalan mengenai isu termasuk Iran, Taiwan, penyeludupan fentanyl dan tokoh media pro-demokrasi Hong Kong yang dipenjarakan, Jimmy Lai.
Namun, Jinping mengambil nada lebih tegas, menggesa China dan AS mesti bertindak sebagai negara besar yang bertanggungjawab. Dalam kenyataan ketika tiba, beliau berkata, kedua-dua negara mesti memastikan tiada konflik dan tiada konfrontasi, selain menegaskan kecerdasan buatan (AI) mesti sentiasa berada di bawah kawalan manusia.
Sebaliknya, Trump sebelum ini meremehkan amaran bahawa AI boleh mengancam manusia.
Kemudian di Pejabat Oval, Jinping menggesa Trump menunjukkan kebijaksanaan dan menentang kemerdekaan Taiwan, pulau yang mempunyai pemerintahan sendiri tetapi dituntut Beijing.
Pemimpin China itu yang menurut laporan berkongsi risikan dengan Teheran, turut menggesa Trump menamatkan perang Iran melalui rundingan secepat mungkin.
Trump dilaporkan menghadiahkan Jinping sebuah patung helang yang ditempah khas, simbol kebangsaan AS dalam lawatan itu.
Presiden AS berusia 80 tahun itu turut menjemput para tetamu melawat tapak pembinaan dewan tari-menari baharu bernilai AS$400 juta (RM1.6 bilion) selepas makan malam, sambil memberi penghormatan kepada mereka untuk menjadi orang pertama yang menjejakkan kaki ke situ.
Walaupun urusan perniagaan menjadi antara agenda utama makan malam rasmi itu, harapan untuk mencapai kemajuan besar menerusi lawatan Jinping itu dilihat tipis.
Satu pencapaian kecil iaitu melanjutkan gencatan perdagangan selama dua bulan sehingga Januari masih jauh daripada tempoh dua tahun yang diharapkan pihak China.
Sebaliknya, lawatan itu lebih menonjolkan pertunjukan dan kemeriahan berbanding hasil substantif, dengan acara penuh istiadat dilihat sekadar untuk membantu meredakan ketegangan yang memisahkan dua ekonomi terbesar dunia.
Ketika memulakan rundingan di Pejabat Oval, Trump berseloroh bahawa China mempunyai kumpulan wartawan yang paling mesra.
Komen itu dibuat beberapa hari selepas beliau menghalang organisasi media CNN, MS NOW dan Politico daripada memasuki Rumah Putih, namun ketiga-tiganya kembali pada Khamis selepas perintah mahkamah dikeluarkan.
Lawatan Jinping berakhir pada Jumaat apabila pasangan presiden kedua-dua negara melawat Arkib Negara AS, tempat tersimpannya Deklarasi Kemerdekaan, yang menyambut ulang tahun ke-250 tahun ini.-AFP











