KUALA TERENGGANU : EPIC Berhad, syarikat berkaitan Kerajaan Negeri Terengganu di bawah Kumpulan Terengganu Incorporated, memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan TIMOR GÁS & PETRÓLEO, E.P. (Timor Gap), syarikat minyak dan gas nasional Republik Demokratik Timor Leste, bagi meneroka kerjasama pembangunan infrastruktur minyak dan gas di negara itu.
Pada majlis pemeteraian itu, EPIC Berhad diwakili Dr. Ts. Muhtar Suhaili dan Pengurus Besar Kanan Pangkalan Bekalan dan Sokongan, Syed Abdullah Syed Omar. Timor Gap pula diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rui Soares serta Naib Presiden Pembangunan Infrastrukturnya, Alexandre Cristovão.
Kerjasama tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan Pangkalan Bekalan Suai (SSB) yang dirancang sebagai pangkalan logistik dan marin utama bagi menyokong operasi industri minyak dan gas di darat serta luar pesisir di Laut Timor.
MoU yang dimeterai di Dili, Timor Leste itu menyediakan rangka kerja kepada kedua-dua pihak untuk meneroka potensi kerjasama dalam pembangunan SSB, dengan EPIC Berhad menyumbangkan kepakaran teknikal dan operasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, kerjasama tersebut mencerminkan keupayaan syarikat sebagai penyedia perkhidmatan minyak dan gas dari Malaysia untuk mengembangkan kepakaran serta pengalamannya ke pasaran antarabangsa.
“Cadangan kerjasama strategik ini menandakan satu lagi perkembangan penting bagi EPIC Berhad dalam memperluas penglibatan syarikat di peringkat antarabangsa. Ia selaras dengan strategi pertumbuhan dan membuka peluang untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta keupayaan industri Malaysia dan Timor Leste,” katanya. – UTUSAN











