KOTA BHARU: Pas tidak berdepan masalah menggunakan mana-mana logo dalam pilihan raya akan datang kerana masyarakat kini sudah mengenali parti itu.
Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, perkembangan pada dua pilihan raya negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan membuktikan bahawa identiti Pas termasuk lambang bulan sudah dikenali bukan sahaja penyokongnya malah dalam kalangan penyokong UMNO.
“Pada pemerhatian saya, dalam keadaan semasa politik hari ini, guna logo mana pun tiada masalah sebab orang sudah kenal Pas. Dahulu orang tidak kenal.
“Dengan apa yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan, boleh dikatakan penyokong UMNO sendiri boleh kenal Pas,” katanya selepas Kuliah Pagi Jumaat di Dataran Ilmu Kelantan di sini, hari ini.
Beliau mengulas situasi Perikatan Nasional (PN) digantung oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berkuat kuasa kelmarin.
Mohd. Amar berkata, berdasarkan pemerhatiannya, penyokong Barisan Nasional (BN) juga berkemungkinan memberikan sokongan kepada Pas dalam pilihan raya akan datang sekiranya tidak berlaku pertembungan antara kedua-dua parti itu.
“Berdasarkan pemerhatian saya, ahli-ahli dan penyokong-penyokong BN sebenarnya lebih suka dengan lambang bulan. Malah, kepemimpinan BN sendiri kita lihat lebih selesa dengan Pas berbanding PN. Antara sebabnya adalah dalam PN ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan majoriti orang UMNO serta BN tidak boleh terima Bersatu,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd. Amar tidak menyangkal pandangan sesetengah pihak bahawa Pas sudah mampu bergerak sendiri susulan kebangkitan Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) pada Muktamar Pas Ke-72 baru-baru ini.
“Itu pandangan sesetengah pihak dan mereka boleh kata apa sahaja. Bagaimanapun Pas ada pertimbangannya sendiri. Sebab itu dari awal saya sebutkan tiada masalah kalau Pas terpaksa guna lambang bulan seperti sebelum ini.
“Malah, sekiranya ditakdirkan kita tidak boleh guna logo PN, memang kita akan guna lambang bulan, sebab itu lambang kita,” katanya. – UTUSAN











