Bukan semua ibu berkerjaya ‘bertuah’

Bukan semua ibu berkerjaya ‘bertuah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menjadi wanita yang bekerja dan pada masa sama membesarkan anak bukanlah satu perkara yang mudah. Setiap hari ada sahaja perkara yang perlu difikirkan iaitu kerja di pejabat, tugasan rumah, keperluan anak, kesihatan, sekolah dan seribu satu hal lain yang kadangkala datang tanpa diduga.

Lebih mencabar apabila ada yang menganggap wanita bekerja sepatutnya sudah mempunyai segala-galanya diuruskan.

Mahu ambil pembantu rumah, bukan semua keluarga mampu. Kosnya bukan sedikit dan ada pula yang mempunyai pengalaman atau sebab tertentu yang membuatkan mereka tidak selesa mengambil orang gaji.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi yang masih mempunyai ibu dan bapa, tinggal bersama atau berdekatan dengan mereka pula ada kelebihannya. Sekurang-kurangnya ada insan yang boleh membantu melihatkan anak ketika ibu dan ayah bekerja. Bantuan itu mungkin nampak kecil, ia sangat besar maknanya.

Namun, tidak semua wanita bernasib baik.

Ada yang ibu bapanya tinggal jauh. Ada yang sudah kehilangan kedua-duanya. Ada pula yang menjadi ibu tunggal dan perlu menguruskan anak seorang diri.

Dalam keadaan itu, urusan menghantar dan mengambil anak, menyediakan keperluan mereka serta memastikan anak terjaga perlu dilakukan sendiri, walaupun dalam masa sama tuntutan pekerjaan tidak pernah berhenti.

Sebab itu, kita tidak boleh menyamakan keadaan semua ibu bekerja.

Apa yang nampak mudah bagi seseorang mungkin menjadi perjuangan besar bagi orang lain. Ada yang mempunyai pasangan yang boleh bergilir menjaga anak, ada yang dibantu keluarga, manakala ada yang terpaksa bergantung kepada pusat jagaan atau mengatur kehidupan dengan penuh berhati-hati.

Jadi, jangan terlalu mudah memandang ringan cabaran ibu bekerja. Mereka bukan meminta simpati, jauh sekali mahu alasan.

Mereka cuma cuba melakukan yang terbaik untuk keluarga, dalam keadaan dan kemampuan yang mereka ada.

Kadangkala, sedikit empati lebih bermakna daripada seribu komen yang menghakimi.

Adlinahani Khalil ialah Pengarang Berita Gaya Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×