Soalan:
Saya gagal habiskan pengajian ijazah berbaki satu tahun lagi. Ayah sangat kecewa tapi saya sendiri tidak mampu teruskan pengajian. Bagaimana cara untuk saya jelaskan kepada keluarga.
Yang Keliru
Jawapan:
Gagal dalam akademik boleh menimbulkan rasa kecewa dengan diri, lebih-lebih lagi apabila keluarga meletakkan harapan tinggi pada seorang anak. Oleh itu, penting untuk menjelaskan keadaan dengan matang agar keluarga memahami apa yang anda dilalui. Berikut tip untuk anda:
Pilih masa sesuai Jangan menerangkan perkara besar ketika emosi sedang memuncak. Pilih masa yang sesuai apabila semua pihak berada dalam keadaan tenang. Suasana yang baik dapat membantu perbincangan berlangsung dengan lebih terbuka serta mengelakkan pertengkaran atau salah faham.
Jelaskan keadaan sebenar, bukan sekadar keputusan Terangkan kegagalan menamatkan pengajian bukan berlaku tiba-tiba. nyatakan perasaan yang anda rasai yakni tekanan dan kehilangan motivasi sehingga sukar meneruskan pengajian. Bantu keluarga memahami apa yang anda rasai.
Jangan terlalu menyalahkan diri sendiri Akui keputusan tersebut mungkin sesuatu yang anda kesalkan, tetapi jangan melabel diri sebagai seorang yang gagal. Satu kegagalan akademik tidak menentukan nilai diri atau keseluruhan masa depan anda. Jadikan pengalaman ini sebagai peluang untuk memahami kelemahan dan keperluan diri.
Fahami kekecewaan keluarga Berikan ruang kepada ibu bapa untuk meluahkan perasaan. Mereka mungkin kecewa kerana impian dan harapan yang diletakkan kepada anda tidak tercapai. Cuba fahami bahawa reaksi mereka mungkin berpunca daripada rasa sayang dan kebimbangan terhadap masa depan anda, bukannya semata-mata mahu menghukum.
Terangkan apa yang anda perlukan daripada keluarga Jangan hanya menjelaskan masalah, tetapi nyatakan bentuk sokongan yang anda perlukan daripada keluarga. Beritahu mereka sama ada anda memerlukan ruang, masa untuk membuat keputusan atau dorongan untuk membina semula keyakinan diri. Ini membantu keluarga memahami bagaimana mereka boleh berada di sisi anda.
Tunjukkan perancangan baru Yakinkan keluarga tidak menghabiskan pengajian bukan bermaksud anda mahu berhenti berusaha. Jelaskan perancangan seterusnya, sama ada mencari laluan pendidikan lain, bekerja, mengikuti latihan kemahiran atau meneroka bidang yang lebih sesuai dengan minat dan kemampuan anda.
Kesimpulan, kegagalan menghabiskan pengajian memang menyakitkan, tetapi ia bukan pengakhiran kehidupan dan yang penting berani mengakui kesalahan diri dan fokus pada masa hadapan.











