KUALA LUMPUR: Pengarah dan pelakon, Zul Huzaimy, 48, mengambil keputusan untuk tidak menggunakan khidmat pelakon senior yang juga rakan seperjuangannya daripada karya arahannya kerana enggan menawarkan bayaran tidak setimpal gara-gara kekangan peruntukan.
Pemilik nama sebenar Zul Huzaimy Marzuki berkata, dia lebih memilih untuk tidak menggunakan khidmat lakonan penggiat seni ‘otai’ jika pihak produksi tidak mampu menyediakan bayaran sewajarnya.
“Saya tidak panggil kawan-kawan senior jika tahu peruntukan tak cukup. Kita boleh menilai pelakon yang berusia dan berpengalaman.
“Saya tak mahu membayar mereka dengan harga yang sangat rendah. Kalau ada bajet, saya minta penerbit keluarkan duit lebih jika perlu,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem lakonannya, ‘Bisikan Nafsu’ di TGV KLCC di sini, semalam.
Bercerita lanjut, Zul memaklumkan pernah mengeluarkan wang sendiri demi mendapatkan pelakon yang diingininya bagi menjayakan naskhah drama ‘Kenapa Aku Mencuri?’
Katanya, ketika itu pihak produksi memaklumkan tidak mempunyai peruntukan mencukupi untuk mengambil pelakon, Lan Zailan menyebabkan dia merelakan diri untuk menanggung kos tambahan tersebut.
“Saya memang mahu Lan Zailan berlakon sebab watak itu kena dengan beliau. Penerbit pula kata tak cukup duit, pengurus produksi pun jawab tiada bajet lebih.
“Kemudian Pak Din (pengurus produksi) maklumkan kepada saya kalau mahu, kena tambah duit sendiri. Saya jawab, Okey! Saya keluarkan duit sebab saya mahu Abang Lan Zailan,” ujarnya.
Bagaimanapun, Zul mengakui ada rakan seperjuangan yang berkecil hati apabila tidak ditawarkan kerja lakonan.
“Saya pernah dipersoalkan kawan-kawan yang tidak dipanggil berlakon. Saya jawab, saya tidak ada bajet.
“Kalau ada bajet, memang saya akan tawarkan. Saya kalau boleh tidak mahu mereka yang berpengalaman bekerja dengan bayaran terlalu rendah,” ulasnya.
Menurut Zul lagi, isu kadar bayaran pelakon bukan hal baharu, malah wajar diberi perhatian kerana setiap pelakon mempunyai tahap pengalaman dan nilai tersendiri.
“Satu hari nanti saya pun akan tua. Jadi, siapa yang mahu bantu, mungkin boleh fikirkan bagaimana hendak memperjuangkan perkara tersebut,” katanya.
Sementara itu, mengenai lakonannya sebagai bapa tiri dalam filem pertama terbitan syarikat milik pelakon, Azeva, Zul sudah bersedia andai karakter tersebut dibenci penonton.
“Bisikan Nafsu merupakan kisah benar yang terjadi dalam masyarakat tetapi ada dalam kalangan mangsa penganiayaan mendiamkan diri atas pelbagai faktor.
“Mungkin karakter saya akan dibenci iaitu sebagai bapa tiri juga penceramah terkenal yang menggunakan status bagi mengaburi sikap buruknya. Kisah ini bawa pengajaran, jadi saya sahut cabaran Hello Productions,” katanya. – UTUSAN











