PETALING JAYA: Penyanyi, Nadeera Zaini mengakui berdepan tekanan apabila sering didesak peminat dan netizen supaya lebih kerap menghasilkan karya baharu bagi memastikan namanya terus relevan dalam industri seni.
Menurut Nadeera, tekanan itu sememangnya dirasai memandangkan dirinya sedar tidak mudah untuk membina nama, apatah lagi mempertahankan kedudukan selepas mula dikenali ramai.
“Mestilah ada tekanan. Saya sebenarnya sedikit stres apabila terlalu memikirkan perkara seperti ini. Hendak mencipta nama sudah satu perkara yang susah, mahu kekal relevan pun susah.
“Saya memang agak tertekan memikirkan bagaimana mahu mengekalkan nama sendiri dan pada masa sama mencari karya serta komposer yang sesuai,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran muzik video Cinta Di Akhir Garisan 2.0, pada Khamis.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Cuba Jadi Aku itu mengakui dia sengaja mengambil masa untuk menghasilkan lagu baharu demi menjaga kualiti karyanya.
“Saya akui apabila peminat memang kata saya lambat. Tidak mengapa, memang saya lambat pun. Tapi saya sedang mencari karya yang betul-betul mahu diberikan kepada mereka. Saya tidak mahu keluarkan sesuatu dengan sia-sia,” jelasnya.
Cakna akan tanggapan bahawa perjalanan muziknya terlalu bergantung kepada Hael Husaini, Nadeera menjelaskan kerjasamanya dengan penyanyi dan komposer itu turut menjadi proses pembelajaran dalam mengembangkan kemampuannya dalam bidang muzik.
“Ramai di luar sana cakap saya terlalu bergantung kepada Hael Husaini. Tapi hanya saya dan dia tahu bahawa dia banyak mengajar saya. Sudah tentu saya juga mahu bekerjasama dengan komposer-komposer lain. Saya memang terbuka untuk berbuat demikian.
“Saya sudah jumpa beberapa komposer lain. Dia pula bukanlah melepaskan saya begitu sahaja. Kadang-kadang saya masih minta pendapat dia. Dia pun galakkan saya teruskan apa yang saya buat sekarang,” katanya.
Nadeera bagaimanapun tidak menafikan tekanan dan kritikan yang diterima adakalanya memberi kesan terhadap emosinya sehingga pernah mengalirkan air mata.
“Orang cakap golongan yang paling tersakiti adalah golongan selebriti sebab merekalah yang selalu dikecam. Kita selalu cakap kita kuat dan memang kita perlu kuat.
“Tapi saya pun manusia, saya rapuh dan ada hati. Kadang-kadang saya menangis. Kadang-kadang saya buat-buat tidak dengar semua itu, tidak mahu dengar atau ambil tahu sebab kita cuma mahu buat kerja yang kita suka.
“Saya menyanyi bukan semata-mata untuk diri sendiri. Saya mahu berikan sesuatu kepada orang yang mendengar dan cuba buat orang lain gembira juga,” ujarnya.
Mengenai Cinta Di Akhir Garisan 2.0, lagu ikonik yang pernah dipopularkan oleh Datuk Ziana Zain, Datuk Nora Ariffin, Ning Baizura dan Dessy Fitri itu kini dinyanyikan semula oleh Nadeera, Aisha Retno, Marsha Milan dan Adira Suhaimi.











