Rais Yatim mengaku tidak bersalah tuduhan menghasut

Rais Yatim mengaku tidak bersalah tuduhan menghasut

RAIS tiba di pekarangan Mahkamah Sesyen Ayer Keroh bersama isterinya, Masnah dan anak, Danni bagi sebutan kes di bawah Akta Hasutan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AYER KEROH: Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menghasut membabitkan krisis adat Negeri Sembilan, Jun lalu.

Beliau yang berusia 84 tahun itu membuat pengakuan berkenaan sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan, Rais didakwa pada 5 Jun 2026, kira-kira pukul 1.00 petang, di Park Royal De Famosa Melaka Resort, Jalan Kemus, Simpang Empat, Alor Gajah, Melaka, telah menyebut perkataan menghasut seperti dinyatakan dalam lampiran pertuduhan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Antara perkataan yang didakwa disebut ialah berkaitan doa selamat kepada Tunku Nazaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12, selain seruan supaya taat setia kepada baginda.

Rais didakwa melakukan kesalahan di bawah perenggan 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15), yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd Izhar memohon jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun barisan lima peguam yang mewakili anak Rais, Danni kemudian memohon jaminan dikurangkan.

Dalam rayuannya, Danni memaklumkan bahawa pihak pembelaan hanya dimaklumkan mengenai pertuduhan pada kira-kira pukul 10.30 malam tadi sebelum Rais hadir ke mahkamah pagi ini.

Peguam turut memohon supaya Rais diberikan jaminan dengan seorang penjamin.

Hakim kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Kes disebut semula pada 27 Oktober depan.

Rais, sebelum ini dikaitkan dengan satu majlis pada 5 Jun lalu yang menyaksikan beliau memasyhurkan Tunku Nazaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.

Pada Julai lalu, dua darjah kebesaran Negeri Sembilan yang dikurniakan kepada Rais turut ditarik balik berkuat kuasa serta-merta atas titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Beliau tiba kira-kira pukul 8.40 pagi itu ditemani isteri, Puan Sri Masnah Muhamat dan anaknya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klawang, Danni.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×