PETALING JAYA: Datuk Seri Aminuddin Harun mempersoalkan tindakan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim menandatangani dokumen proklamasi berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar sedangkan sebelum ini beliau memilih untuk tidak menandatangani dokumen sama.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, dokumen proklamasi bertarikh 19 April 2026 itu pernah dikemukakan kepadanya pada 20 April lalu ketika beliau masih memegang jawatan Menteri Besar untuk ditandatangani mengikut Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Saya membuat keputusan untuk tidak menandatangani dokumen tersebut kerana terdapat persoalan serius mengenai proses yang telah dilalui.
“Jika saya ketika menjadi Menteri Besar boleh membuat keputusan untuk tidak menandatangani dokumen tersebut kerana mempunyai keraguan terhadap prosesnya, bagaimana pula tandatangan Menteri Besar selepas saya boleh berada pada dokumen yang sama?” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, persoalan tersebut perlu dijelaskan secara terus kepada rakyat khususnya selepas Ismail kemudian mendakwa tandatangan berkenaan dibuat dalam keadaan dipaksa.
Katanya, dakwaan Ismail itu telah dibawa kepada pihak berkuasa dan wajar diberikan ruang untuk siasatan menentukan fakta sebenar tanpa prejudis.
“Namun dari sudut tanggungjawab awam, satu persoalan tetap perlu dijawab,” katanya.
Menurutnya, beliau bersedia bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang dibuat sepanjang tempoh menjadi Menteri Besar.
“Jangan sekadar menggunakan istilah kerajaan terdahulu sebagai jawapan umum. Jika ada kesalahan, nyatakan kesalahannya. Jika ada pelanggaran undang-undang, nyatakan peruntukannya.
“Dalam perkara sebesar ini, rakyat berhak diberikan fakta yang jelas dan boleh diperiksa,” katanya.
Aminuddin turut merujuk pendirian Jabatan Peguam Negara pada 17 September lalu yang menyatakan Proklamasi bertarikh 19 April 2026 tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Beliau berkata, perbezaan pendirian antara Jabatan Peguam Negara dengan Sekretariat Majlis Undang Yang Empat berhubung pematuhan proses Perkara 10 menunjukkan isu berkenaan merupakan persoalan substantif yang perlu diperjelaskan berdasarkan fakta dan rekod.
“Saya berpegang pada pendirian Jabatan Peguam Negara yang lebih berautoriti,” katanya.
Aminuddin pada masa sama menegaskan, Menteri Besar perlu menjelaskan tindakannya sendiri dan tidak hanya mengaitkan kemelut berkenaan dengan pentadbiran terdahulu.
“Rakyat berhak mengetahui mengapa tandatangannya berada pada dokumen proklamasi tersebut dan apakah keadaan sebenar yang menyebabkan beliau kemudian mendakwa dirinya dipaksa menandatangani.
“Persoalan itu tidak boleh dijawab dengan hanya menyalahkan kerajaan terdahulu,” katanya.- UTUSAN











