Abang PM meninggal akibat sakit tua, dijangka kebumi selepas solat Jumaat

Abang PM meninggal akibat sakit tua, dijangka kebumi selepas solat Jumaat

IDRUS Ibrahim disahkan meninggal dunia akibat sakit tua dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cherok Tokun Bawah bersebelahan masjid di Bukit Mertajam, Pulau Pinang selepas selesai solat Jumaat esok.-GAMBAR/FACEBOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Abang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Idrus Ibrahim, 83, disahkan meninggal dunia akibat sakit tua kira-kira pukul 5.30 petang tadi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Khairat Masjid Jamek Cherok Tokun Bawah, berita tersebut disahkan sendiri oleh menantu Allahyarham iaitu Mohd. Nahar Mohd. Nor.

“Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cherok Tokun Bawah bersebelahan masjid selepas selesai solat Jumaat, esok. Ketika ini, jenazah masih berada di rumah keluarga di Cherok Tokun,” katanya.

Sementara itu, beberapa pemimpin berkongsi kesedihan atas pemergian Allahyarham yang mesra disapa sebagai Cikgu Idrus di laman sosial masing-masing.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim berkata, Allahyarham bukan sekadar guru dan guru besar, malah, merupakan seorang pendidik yang banyak memberikan nasihat serta bimbingan kepadanya sejak awal bergelar Ahli Parlimen.

“Walaupun tegas ketika bergelar pendidik, berdisiplin serta berprinsip, tetapi, beliau sentiasa mengambil berat akan anak-anak muridnya. Jasa Cikgu sentiasa saya ingat. Takziah buat seluruh keluarga PMX Anwar Ibrahim,” katanya menerusi satu hantaran Facebook, malam ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pula berkata, Allahyarham juga pernah menjadi guru beliau suatu ketika dahulu dan berita pemergiannya sangat mendukacitakan.

“Saya merakamkan ucapan takziah buat seluruh keluarga Allahyarham. Saya mendoakan agar keluarga Allahyarham diberikan ketabahan dan kekuatan jiwa menghadapi saat yang penuh ujian ini,” katanya.

Turut berkongsi kesedihan atas pemergian Allahyarham ialah beberapa pemimpin lain termasuk Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib; Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Seri Fadhlina Sidek dan lain-lain.

Terdahulu, Anwar memaklumkan berita duka itu menerusi hantaran di laman Facebook beliau ketika sedang dalam perjalanan pulang ke Malaysia dari lawatan tiga hari di China.

“Sukar untuk saya ungkapkan rasa kehilangan ini apabila seorang sosok yang berkongsi begitu banyak kenangan sepanjang perjalanan hidup kini telah tiada dan hanya Allah SWT yang tahu betapa beratnya hati menerima kenyataan ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×