HANGZHOU, China: Malaysia akan terus terbuka kepada pelaburan serta kerjasama China dalam bidang teknologi digital yang mampu membawa pelbagai manfaat bersama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesediaan kerajaan China untuk mengetengahkan serta berkongsi aspek teknologi itu menerusi pelbagai platform juga disambut baik.
“Daripada makanan hingga ke teknologi baharu serta sebagai negara tuan rumah, China seperti mana menjadi hos secara digital pada hari ini, telah mempamerkan kesediaan untuk mengetengahkan serta berkongsi teknologi.
“Ini bertepatan dengan ekonomi digital dan (atas alasan ini) Malaysia akan terus membuka ekonominya bagi meraih manfaat daripada pelaburan serta kerjasama digital. Terima kasih kerana turut membenarkan kami mempamerkan pavilion Malaysia, termasuk penyertaan daripada China,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) Kelima di sini semalam.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut berkongsi kelebihan Malaysia, termasuk aspek disiplin dan kemahiran barisan pekerjanya yang menguasai pelbagai bahasa selain ekonomi berasaskan peraturan serta pangkalan yang berupaya menembusi pasaran di serata Asia dan kawasan lain.
Anwar turut menyambut baik pendirian tegas Presiden China, Xi Jinping mengenai kepentingan perdagangan digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam membantu mengurangkan jurang ketidaksamaan dan bukannya memburukkan lagi keadaan.
Beliau pada masa sama, menekankan sebarang kemajuan hanya menjadi sia-sia jika manfaatnya dinikmati oleh segelintir negara, syarikat, komuniti atau golongan elit tertentu.
“Ekonomi digital yang kukuh merujuk kepada keadaan yang membolehkan lebih banyak negara dapat mengambil bahagian, lebih banyak syarikat dapat bersaing dan lebih ramai orang mampu menikmati kemakmuran itu,” tegas Perdana Menteri.
Selain itu, Anwar menambah, pendekatan berteraskan etika terhadap AI serta rejim perdagangan digital yang lebih terbuka dan berasaskan peraturan digesa untuk dilaksanakan bagi memastikan negara-negara membangun turut meraih manfaat daripada kemajuan teknologi.
Beliau berkata, matlamat Malaysia dalam bidang AI adalah jelas, iaitu meningkatkan produktiviti, membantu syarikat kecil bersaing dan membawa industri ke arah aktiviti bernilai tinggi selain memastikan rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada perubahan teknologi berbanding hanya menerima impaknya.
“Prinsipnya kekal, sama ada kita mengawal selia AI atau AI mengawal kita,” katanya.
Perdana Menteri turut menggesa rangka kerja berasaskan etika diwujudkan supaya inovasi dan kemajuan teknologi dapat memberi manfaat kepada manusia.
Anwar berkata, ini merupakan isu asas yang menyentuh masalah berulang berkaitan jurang digital terutamanya ketika negara mengejar kemajuan teknologi yang pesat dalam keadaan ketidaksamaan sosioekonomi yang berterusan.
“Pertumbuhan pesat AI, misalnya, mungkin menjadi aspirasi kebanyakan negara tetapi apakah manfaat sebenar yang akan diperoleh manusia jika perkembangan sedemikian hanya melebarkan jurang antara negara kaya dan negara sedang membangun, ekonomi maju dan ekonomi sedang membangun?
“Ini bukan ketakutan yang direka atau dibesar-besarkan, sebaliknya kebimbangan mendalam terhadap kesejahteraan wilayah, negara dan komuniti.
“Persoalannya adalah sama ada teknologi ini akan memberikan negara-negara membangun lebih banyak ruang untuk menentukan masa depan mereka sendiri atau membiarkan mereka bergantung pada teknologi yang dibangunkan di tempat lain,” kata beliau.-UTUSAN.











