Impian kanak-kanak leukemia naik kereta polis akhirnya tercapai - Utusan Malaysia

Impian kanak-kanak leukemia naik kereta polis akhirnya tercapai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Impian kanak-kanak lelaki yang menghidap leukemia untuk menaiki kereta peronda polis (MPV) tercapai apabila direalisasikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

Hafiz Hilmy Mohd Nor, 4, yang dikesan mengidap leukemia sejak Mac lalu itu menyuarakan hasrat berkenaan kepada bapanya, Hilmy Mohd Nor, 45, sebelum satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Make A Wish merealisasikan hasrat kanak-kanak terbabit.

Hilmy berkata, minat Hafiz terhadap polis sudah lama disedari keluarga, terutama apabila kanak-kanak itu akan teruja setiap kali melihat kenderaan polis.

“Dia memang suka kereta polis dan polis. Kalau jumpa di jalan pun memang dia teruja, terutama kereta polis, uniform dan bunyi siren.

“Kalau melihat anggota polis trafik terutamanya, memang dia akan sangat teruja, inilah yang menjadi semangat dia untuk melawan kesakitan,” katanya ditemui selepas diraikan dalam program di IPD Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Penaung Diraja Make a Wish Malaysia, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hilmy berkata, perjalanan rawatan Hafiz bermula sekitar Mac lalu. Pada awalnya dia disyaki menghidap denggi, namun pemeriksaan lanjut mendapati dia menghidap leukemia.

Katanya, Hafiz menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan kini keadaan kesihatannya semakin baik selepas selesai menjalani kemoterapi.

“Doktor cakap keadaan Hafiz sudah semakin baik, cuma rawatan susulan masih berjalan. Kami sekeluarga sentiasa berada di sisi Hafiz sepanjang menjalani rawatan,” katanya.

Katanya, sebagai bapa, perkara utama yang dilakukan adalah bersabar dalam menghadapi cabaran ketika menjaga anak yang sedang mendapatkan rawatan.

Dalam pada itu, pengalaman istimewa Hafiz direalisasikan menerusi kerjasama Make-A-Wish Malaysia dan PDRM di IPD Petaling Jaya.

Selain menaiki kenderaan polis, kanak-kanak itu turut menyaksikan demonstrasi tabik hormat dan perbarisan sebelum diberi peluang mengikuti rondaan singkat menaiki kereta polis sebenar.

Kemuncak pengalaman itu apabila Hafiz menerima sebuah kereta polis bersaiz kanak-kanak yang boleh dipandu sendiri.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Make-A-Wish Malaysia, Irene Tan berkata, setiap hasrat yang direalisasikan memberi peluang kepada kanak-kanak berdepan penyakit kritikal untuk seketika melupakan cabaran akibat penyakit mereka dan menikmati detik kegembiraan.

Beliau berkata, minat Hafiz terhadap kereta polis akhirnya menghimpunkan PDRM, keluarga, sukarelawan dan penyokong untuk mencipta pengalaman istimewa buat kanak-kanak berkenaan.

“Harapan kami, pengalaman ini dapat membantu Hafiz dan keluarganya membina ketabahan ketika meneruskan rawatan perubatannya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×