PETALING JAYA: Kerajaan diingatkan supaya tidak menunggu sehingga Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mendapat reputasi sebagai transit pilihan sindiket dadah antarabangsa sebelum mengambil tindakan menyeluruh bagi memperkukuh sistem keselamatannya.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, segala cadangan penambahbaikan perlu diterjemahkan kepada pelan tindakan dengan tempoh pelaksanaan yang jelas.
Menurutnya, kerajaan tidak hanya boleh sekadar mengumumkan bahawa teknologi baharu akan ‘dipertimbangkan’.
“Jangan tunggu KLIA mendapat reputasi sebagai transit pilihan sindiket antarabangsa sebelum tindakan menyeluruh dilakukan. Keselamatan KLIA adalah soal keselamatan negara, integriti sempadan dan imej Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan KLIA terus menjadi lubuk sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dalam skala besar.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan baru-baru ini, satu cubaan menyeludup bunga ganja bernilai RM33.4 juta ke Eropah melalui KLIA berjaya ditumpaskan polis dengan rampasan 418 kilogram (kg) dadah dalam 10 kes berasingan.
Rampasan membabitkan 671 plastik ketulan dadah itu turut membawa kepada penahanan 11 warga asing dan seorang orang tengah warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan berkenaan.
Mengulas lanjut, Jais berkata, kejayaan pihak polis menggagalkan kegiatan penyeludupan wajar dipuji.
Namun, katanya, jumlah yang begitu besar membabitkan 10 kes menimbulkan persoalan serius mengenai tahap kawalan dan kemungkinan kelemahan dalam ekosistem keselamatan lapangan terbang itu.
Menurut Jais, MCW sebelum ini telah menegaskan keperluan memperkukuh sistem keselamatan KLIA melalui penggunaan teknologi pengimbasan dan pengesanan terkini serta integrasi data antara agensi.
“Langkah itu turut merangkumi pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) berasaskan analitik pintar, kawalan lebih ketat terhadap kawasan dan laluan sensitif serta pengukuhan integriti dan tapisan terhadap semua pihak yang mempunyai akses kepada kawasan keselamatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, setiap kejadian penyeludupan berskala besar perlu disiasat bukan sahaja dari sudut penyeludup, tetapi juga kemungkinan wujudnya kebocoran dalaman, penyalahgunaan akses, kecuaian atau unsur rasuah.
“Teknologi mesti dipertingkatkan, tetapi teknologi tanpa integriti manusia tetap meninggalkan ruang untuk dibolosi,” katanya.-UTUSAN











