Laluan motosikal bertukar 'peluncur' ketika hujan

Laluan motosikal bertukar ‘peluncur’ ketika hujan

PENGGUNA jalan raya bimbang soal keselamatan laluan hijau Lebuh Raya Persekutuan.-UTUSAN/HANAFI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Laluan motosikal Lebuh Raya Persekutuan yang dibangunkan untuk mengurangkan kemalangan kini dipersoalkan susulan kejadian penunggang terjatuh di permukaan hijau ketika hujan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati lorong motosikal berkenaan masih dibuka dan tiada sebarang kerja pembaikan dilakukan setakat ini, termasuk di kawasan permukaan hijau tersebut.

Keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan pengguna, khususnya penunggang motosikal yang masih menggunakan laluan hijau berkenaan ketika hujan.

Seorang pengguna yang enggan dikenali berkata, dia mengakui hampir tergelincir ketika melalui laluan itu ketika hujan lebat baru-baru ini.

“Saya ingat laluan itu selamat, tetapi ketika tidak sangka dengan kelajuan perlahan tiba-tiba tergelincir ketika membawa motosikal.

“Saya berharap pihak berkuasa lihat semula laluan, ia tidak membantu langsung untuk mengurangkan kemalangan, tetapi meningkat statistik nahas jalan raya,” katanya.

Dalam pada itu, Pakar Kejuruteraan Awam Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Madya Dr. Munzilah Md. Rohani berkata, laluan motosikal berwarna hijau berisiko tinggi menyebabkan penunggang tergelincir ketika hujan, kerana lapisan air hujan yang membasahi permukaan akan bertindak seperti pelincir antara tayar dengan permukaan cat.

Katanya, keadaan berkenaan berlaku kerana sifat permukaan cat berbeza daripada permukaan jalan biasa yang lebih kasar.

“Permukaan jalan biasa mempunyai ciri `anti skid`atau anti gelincir dan daya tahan gelinciran lebih tinggi berbanding permukaan yang disalut cat.

“Akan tetapi bagi laluan motosikal bewarna hijau apabila hujan, lapisan air akan terbentuk antara tayar motosikal dengan permukaan cat, menyebabkan daya geseran berkurangan dan motosikal mudah tergelincir.

“‘Hydroplaning atau lapisan air itu boleh bertindak seperti bahan pelincir, sekali gus mengurangkan cengkaman tayar terhadap permukaan laluan yang dicat,” katanya.

Beliau berkata, keadaan tersebut boleh menyebabkan penunggang hilang kawalan, terutama ketika melakukan brek kecemasan atau memasuki selekoh pada kelajuan tinggi.

Katanya, risiko berkenaan bukan hanya menyebabkan penunggang terjatuh sendiri, malah boleh mengakibatkan kemalangan berantai jika laluan motosikal sempit.

“Penunggang yang terjatuh boleh dilanggar atau dilanggar penunggang lain dari belakang, sekali gus meningkatkan risiko kecederaan dan kematian.

“Jenis bahan cat serta pematuhan terhadap piawaian `anti-skidding` perlu dilihat dan diperincikan bagi memastikan permukaan laluan motosikal mempunyai tahap cengkaman yang sesuai,” katanya.

Sebaliknya, pakar ke­selamatan jalan raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Teik Hua berkata, permukaan berwarna tidak semestinya lebih selamat atau lebih berbahaya kepada motosikal ketika hujan. 

Katanya, faktor yang lebih penting ialah jenis bahan yang digunakan, tekstur permukaan dan tahap rintangan gelinciran selepas basah. 

“Sesetengah lapisan berwarna boleh mempunyai permukaan yang lebih licin apabila terkena air, khususnya jika bahan tersebut menghasilkan permukaan yang agak licin atau menutup tekstur agregat jalan. 

“Oleh itu, keselamatan laluan tidak boleh dinilai berdasarkan warna semata-mata. Ia perlu dinilai melalui ujian prestasi permukaan dalam keadaan kering dan basah, terutama pada kelajuan yang biasa digunakan oleh penunggang motosikal,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kemalangan melibatkan penunggang motosikal di laluan motosikal berwarna hijau Lebuh Raya Persekutuan itu sedang disiasat bagi mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada kejadian itu.

Pihaknya bersimpati dengan mangsa yang terlibat, khususnya mereka yang mungkin mengalami kecederaan dalam kemalangan tersebut.

“Kawasan laluan hijau yang terlibat sepatutnya menggunakan permukaan dengan bahan anti gelincir bagi mengelakkan kejadian seperti itu daripada berlaku.

“Bagaimanapun, kemalangan tetap berlaku dan keadaan permukaan ketika kejadian dipercayai sedikit basah susulan hujan ringan.

“Terdapat beberapa faktor lain yang mungkin menyumbang kepada kemalangan itu dan bukan semata-mata disebabkan keadaan permukaan jalan,” katanya pada sidang akhbar Future Ready Green Data Centres Symposium: Sustainable and High Productivity Engineering di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Katanya, pihaknya masih belum mengetahui sama ada penunggang motosikal terbabit bergerak terlalu laju atau keadaan ketika itu agak sesak.

Katanya, pihaknya masih menyiasat apa punca sebenar yang menyebabkan kemalangan itu berlaku.

“Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah melihat lokasi berkenaan dan menjalankan siasatan terhadap keadaan laluan motosikal tersebut.

“Ketua Pengarah JKR yang turut berada bersamanya dimaklumkan mengenai perkara itu dan tindakan segera akan diambil bagi menambah baik keadaan.

“Pihaknya akan mengambil pengajaran daripada kejadian berkenaan bagi memastikan keadaan di laluan motosikal berwarna hijau itu dapat diperbaiki,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×