Taylor Lautner kini bergelar bapa, sambut kelahiran anak perempuan - Utusan Malaysia

Taylor Lautner kini bergelar bapa, sambut kelahiran anak perempuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Pelakon terkenal yang membawa watak Jacob dalam filem Twilight, Taylor Lautner, kini bergelar bapa selepas isterinya, Tay Lautner, selamat melahirkan cahaya mata sulung mereka pada 16 September lalu.

Berita gembira itu dikongsikan pasangan berkenaan menerusi hantaran bersama di Instagram semalam selain memperkenalkan nama anak perempuan mereka, Lennon Taylor Lautner.

Pasangan itu turut memberi panggilan manja ‘Lenny’ kepada puteri kecil mereka.

Menerusi hantaran berkenaan, Taylor dan Tay berkongsi foto Lennon yang mengenakan pakaian berwarna merah jambu, dengan hiasan bersulam nama penuh bayi tersebut di sebelahnya.

Menariknya, nama Taylor sememangnya sudah menjadi sebahagian daripada perbincangan pasangan itu sebelum kelahiran anak sulung mereka.

Tay, yang sebelum ini dikenali sebagai Taylor Dome, pernah mendedahkan dalam podcast Call Her Daddy kendalian Alex Cooper bahawa nama Taylor masih berada dalam senarai pilihan mereka untuk diberikan kepada cahaya mata.

Malah, dia berseloroh bahawa dirinya mungkin akan menerima kecaman di internet sekiranya mereka tidak menggunakan nama tersebut.

Bagi anak lelaki pula, pasangan itu pernah bergurau untuk menggunakan nama Taylor dengan panggilan ‘T.J.’.

Bagaimanapun, bagi cahaya mata perempuan, mereka akhirnya memilih nama Lennon, manakala Taylor dijadikan nama tengah.

Pilihan itu dianggap unik memandangkan kedua-dua ibu bapa Lennon turut mempunyai nama Taylor. Tay sebelum ini menggunakan nama Taylor Dome sebelum mengambil nama keluarga Lautner selepas berkahwin.

Dalam temu bual sama, Tay turut pernah berkongsi mengenai impiannya untuk memiliki anak perempuan.

Dia menggambarkan suaminya sebagai seorang ‘girl dad’ atau bapa yang sangat menggemari anak perempuan, malah mendedahkan Taylor sememangnya menginginkan cahaya mata perempuan.

Taylor dan Tay mula diperkenalkan oleh adik Taylor, Makena Moore. Mereka kemudian menjalin hubungan pada 2018 sebelum bertunang pada 2021.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada November 2022.

Selain dikenali sebagai isteri kepada bintang Twilight, Tay turut mempunyai latar belakang sebagai tenaga kesihatan berdaftar dan aktif memperjuangkan kesedaran mengenai kesihatan mental.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×