Artis antarabangsa bakal gegarkan Sunset By NEON edisi kedua - Utusan Malaysia

Artis antarabangsa bakal gegarkan Sunset By NEON edisi kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENTING HIGHLANDS: Festival muzik elektronik Sunset By NEON kembali ke Genting Highlands bagi edisi kedua pada 26 dan 27 September ini, menampilkan barisan artis antarabangsa serta tempatan dalam acara selama dua hari bermula pukul 4 petang hingga 3 pagi.

Digerakkan oleh OMODA & JAECOO, Sunset By NEON Chapter Two menjanjikan pengalaman festival berkonsepkan Melodic Techno dengan produksi berskala besar berlatarbelakangkan suasana tanah tinggi Genting Highlands.

Edisi kali ini menampilkan nama besar dunia muzik elektronik termasuk Enrico Sangiuliano dan MORTEN yang bakal mengetuai persembahan pada hari pertama.

Hari kedua pula menyaksikan segmen khas Time Machine yang menampilkan Agents of Time, Yotto, Rivo, SLVR dan NOSI, selain bakat tempatan seperti Victor G, CXW, Boriz B2B Wesufo, MTR dan Dora.

Lebih istimewa, Yotto, Enrico Sangiuliano, Agents of Time, SLVR dan MORTEN bakal membuat penampilan sulung mereka di Malaysia menerusi festival berkenaan.

Persembahan itu sekali gus memperkukuh kedudukan Sunset By NEON sebagai platform yang membawa artis muzik elektronik antarabangsa ke salah satu destinasi festival paling unik di Malaysia.DJ dan penerbit muzik dari Perancis, Rivo semakin dikenali dalam arena muzik elektronik menerusi bunyi muziknya yang bersifat hipnotik dan melodik.

Namanya mendapat perhatian global menerusi remix lagu You & Me nyanyian Disclosure yang mencatat ratusan juta penstriman.

Penerbit muzik dari Finland, Yotto terkenal dengan bunyi muzik atmosfera dan melodik menerusi beberapa karya yang diterbitkan di bawah label Anjunadeep.

Antara karya yang menyerlahkan keupayaannya menggabungkan unsur emosi dengan rentak tarian termasuk The One You Left Behind dan Hyperfall. Antara nama yang disegani dalam genre techno, penerbit dari Itali, Enrico Sangiuliano bakal membuat penampilan sulungnya di Malaysia menerusi Sunset By NEON.

Remix The Age Of Love yang dihasilkannya bersama Charlotte de Witte pernah menduduki tempat pertama carta Beatport, manakala The Techno Code kekal sebagai antara karya ikoniknya.

Duo Itali terdiri daripada Andrea Di Ceglie dan Luigi Tutolo itu dikenali menerusi persembahan secara langsung yang berteraskan penggunaan peralatan elektronik serta gabungan muzik melodic house, techno dan elemen improvisasi.

Karya seperti Dream Vision dan Paradigm yang diterbitkan menerusi label Afterlife membantu memperkenalkan identiti muzik mereka ke persada antarabangsa. DJ dan penerbit muzik dari Itali, SLVR membawa pengalaman lebih sedekad dalam industri muzik elektronik ke Genting Highlands.

Antara karya terbaharunya dalam genre melodic techno ialah Music 4 Ur Body, selain remix The Techno Code karya Enrico Sangiuliano yang menghubungkannya dengan arena techno antarabangsa. DJ dan penerbit muzik dari Denmark, MORTEN pula dikenali sebagai antara perintis genre Future Rave yang dibangunkannya bersama David Guetta.

Antara karya popularnya termasuk Never Be Alone, Dreams dan Lucky, selain pernah membuat persembahan di festival antarabangsa seperti Tomorrowland, Ultra dan EDC Las Vegas.

Selain persembahan muzik, Sunset By NEON Chapter Two turut menawarkan pengalaman festival yang menggabungkan produksi bertaraf dunia dengan persekitaran semula jadi Genting Highlands.

Sunset By NEON Chapter Two berlangsung dari pukul 4 petang hingga 3 pagi pada 26 dan 27 September ini di Genting Highlands. Tiket boleh didapati menerusi laman rasmi www.sunsetbyneon.asia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×