Skuasy: Sivasangari, Eain Yow, tiga lagi wakil negara ke suku akhir

Skuasy: Sivasangari, Eain Yow, tiga lagi wakil negara ke suku akhir

Ng Eain Yow berada di landasan terbaik mempertahankan pingat emas selepas mara ke suku akhir pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Nagoya, Jepun, hari ini. - Ihsan WSF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuasy yang dilihat mampu menjadi lubuk tuaian pingat emas Kontinjen Malaysia, berada di landasan terbaik melunaskan impian tersebut apabila lima wakil negara termasuk bintang No. 5 dunia, S. Sivasangari mara ke suku akhir pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun, hari ini.

Diletakkan sebagai pilihan pertama, Sivasangari melakar kemenangan mudah ke atas wakil Sri Lanka, Chanithma Sinaly Veera Samiyel 11-3, 11-5, 11-3 pada peringkat 16 terbaik di Nagoya Kinju-Futo Arena.

Seorang lagi wakil perseorangan wanita, Aira Azman turut meneruskan kemaraan apabila menewaskan Najmeh Boushehrizadeh dari Iran 11-2, 11-2, 12-10.

Pada suku akhir, esok, Sivasangari bakal berdepan pemain No. 39 dunia, Ho Tze Lok dari Hong Kong, manakala, Aira akan mengulangi aksi suku akhir Temasya Hangzhou, empat tahun lalu apabila dijadual bertemu Chan Sin Yuk juga dari Hong Kong.

Dalam saingan perseorangan lelaki, hanya Ng Eain Yow yang berjaya melayakkan diri ke peringkat lapan terbaik selepas membenam Ryu Jeong Min dari Korea Selatan 11-3, 11-4, 11-5 dalam masa 21 minit.

Pemain No. 18 dunia itu yang juga pilihan pertama akan menghitung pertemuan dengan Lau Tsz Kwan dari Hong Kong di suku akhir.

Eain Yow berkata, dia hadir ke Nagoya tanpa terlalu memikirkan undian ataupun dengan siapa pencabar yang bakal ditemuinya nanti.

“Bagi saya semua negara ada buat persiapan, untuk saya pula fokus kepada diri sendiri dan jangkaan pingat emas kali ini berbeza dengan temasya lalu.

“Kali ini saya semakin matang dari segi pemikiran dan cara saya mengendalikan tekanan, lebih-lebih lagi saya pernah menang emas,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan berakhir, hari ini.

Bagaimanapun, nasib berbeza mengiringi seorang lagi perseorangan lelaki Malaysia, Sanjay Jeeva yang beraksi sengit sebelum terpaksa akur kepada pilihan ke-3/4, Veer Manish Chotrani dari India 9-11, 11-8, 6-11, 17-15, 6-11 dalam masa 77 minit.

Sementara itu, dalam aksi beregu campuran pula, dua pasangan negara, Mohammad Syafiq Kamal-Aifa Azman dan C. Ameeshanraj-Rachel Arnold turut menempah slot suku akhir selepas mengalahkan lawan masing-masing di peringkat 16 terbaik.

Memegang status sebagai pilihan pertama, Shafiq-Aifa mudah mengetepikan beregu tuan rumah, Renshi Makino-Risa Sugimoto 11-5, 11-3, manakala, Ameeshanraj-Rachel menyingkirkan Li Haizhen-Zhang Yuning dari China 11-5, 11-1.

Untuk memburu tempat ke separuh akhir, Shafiq-Aifa perlu melepasi halangan beregu Hong Kong, Tang Ming Hong-Lee Ka Yi, sementara, pilihan kedua, Ameeshanraj-Rachel menentang Oh Seo Jin-Heo Ming Yeong dari Korea Selatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×