SYDNEY: Australia melancarkan siasatan segera selepas ejen OpenAI didakwa menyusup ke sebahagian sistem penjagaan kesihatan Medicare milik kerajaan.
Menurut Perdana Menteri, Anthony Albanese, model OpenAI yang bertindak di luar kawalan memintas ciri keselamatan ketika menjalani latihan dan menggodam laman web kerajaan Australia dan beliau turut menegur pencipta ChatGPT berhubung pelanggaran yang disifatkannya sebagai jelas tidak boleh diterima.
“Alat kecerdasan buatan (AI) itu cuba mendapatkan akses kepada portal statistik kesihatan pada Jun dan tidak menerima jawapan tidak, sebelum memintas sekatan untuk menceroboh bahagian yang menyimpan fail persendirian,” kata Albanese.
OpenAI hanya memaklumkan kerajaan Australia mengenai kejadian itu pada September, apabila syarikat berkenaan menghantar mesej ke peti masuk emel umum kerajaan yang hanya diperiksa sekali sehari.
Kebimbangan global mengenai keupayaan alat AI canggih semakin meningkat selepas berlaku beberapa siri insiden penggodaman membabitkan model daripada OpenAI dan pesaingnya, Anthropic.
“Hari ini, saya bercakap dengan Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman untuk menyatakan kebimbangan melampau Australia mengenai insiden ini.
“Saya juga menyatakan kekecewaan kerana syarikat itu mengambil masa terlalu lama untuk memaklumkan kerajaan mengenai apa yang berlaku.
“Ia mengambil masa sehingga 10 September sebelum sebarang pemberitahuan diberikan dan pemberitahuan itu pula dihantar melalui emel ke peti masuk umum sahaja,” kata Albanese kepada pemberita di New York pada Rabu.
Alat AI itu mengakses fail awam dan bukan awam yang disimpan di laman web statistik kesihatan lama.
Albanese berkata, tiada bukti maklumat peribadi telah diakses dan perkhidmatan kerajaan lain tidak terjejas, namun beliau menegaskan situasi itu jelas tidak boleh diterima.
Australia melancarkan siasatan segera terhadap insiden itu yang akan membabitkan agensi perisikan negara yang bertanggungjawab terhadap keselamatan siber.
Pelanggaran itu berlaku pada Jun ketika OpenAI menjalankan latihan untuk menilai prestasi model AI.
Menteri Perkhidmatan Kerajaan, Katy Gallagher berkata, model itu diarahkan mencari di internet data mengenai jumlah perbelanjaan kerajaan Australia untuk ubat-ubatan.
OpenAI berkata, pihaknya hanya mengesan tindakan di luar kawalan itu pada Ogos, ketika menyemak aktiviti yang dilakukan alat AI berkenaan.
“Dalam semakan ini, kami mengenal pasti aktiviti yang melibatkan beberapa laman web dan perkhidmatan kerajaan Australia ketika model kami cuba mencari jawapan dan statistik tersedia bagi soalan mengenai Australia dalam satu penilaian dalaman.
“Dalam proses itu, model kami melakukan tindakan yang tidak kami kehendaki,” kata syarikat berkenaan.-AFP











