MELAKA: Sehari selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh memaklumkan, belum ada mana-mana parti menghubunginya bagi memulakan rundingan kerjasama menghadapi pilihan raya negeri (PRN).
Ab. Rauf selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka percaya proses perbincangan kini menunggu masa untuk bermula, sebaik menerima isyarat daripada kepemimpinan tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
“Setakat hari ini belum lagi. Apabila nanti saya menerima panggilan daripada WTCKL, rundingan itu pastinya akan ada.
“Mungkin esok, mungkin malam ini atau minggu depan saya tidak tahu. Rundingan tetap pasti mesti ada,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka 2026 di Banda Hilir di sini, hari ini.
Mengulas mengenai pendirian BN dalam rundingan kelak, Ab. Rauf menegaskan tuntutan mempertahankan 21 kerusi yang dimenangi pada PRN Melaka 2021 kekal menjadi asas utama.
“Itu asas rundingan kita. Maksudnya hak kita, hak kita. Yang lain kita boleh berunding,” katanya.
Beliau menafikan sudah menerima sebarang surat atau tawaran rasmi daripada mana-mana parti.
“Belum ada lagi,” katanya.
Mengulas notis tunjuk sebab yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) kepada Perikatan Nasional (PN), Ab. Rauf berkata, ia tidak mengubah pendirian BN dalam menghadapi PRN.
Katanya, PN ketika ini berada dalam proses menjawab notis berkenaan dan belum digantung seperti diperkatakan sesetengah pihak.
“Kalau pun berlaku apa-apa kemudian, kita tunggu masa itu. Tetapi ia tidak menjejaskan hala tuju BN kerana rundingan tetap rundingan,” katanya. – UTUSAN











