Kastam tumpaskan aktiviti seludup rokok, arak bernilai RM2.17 juta

Kastam tumpaskan aktiviti seludup rokok, arak bernilai RM2.17 juta

HASBOLLAH Din (tengah) menunjukkan gambar rokok seludup yang dijumpai disembunyikan dalam lima buah kereta yang diletakkan di kawasan parkir sebuah kondominium di Jelutong ketika sidang akhbar di Kompleks Pencegahan Kastam Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras bernilai RM2.17 juta dalam tiga kes berasingan sepanjang bulan lepas.

Pengarahnya, Hasbollah Din berkata, kes pertama melibatkan pemeriksaan ke atas lima buah kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir sebuah kondominium di Jelutong, kira-kira pukul 6.40 petang pada 7 Ogos lalu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, sebanyak 339,640 batang rokok pelbagai jenama yang disyaki sebagai barang larangan disembunyikan di dalam kelima-lima kenderaan berkenaan.

“Susulan penemuan itu, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 70-an ditahan bagi membantu siasatan manakala semua barang kes telah disita untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk duti dan cukai pula dianggarkan berjumlah RM590,959,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Pencegahan Kastam Pulau Pinang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hasbollah berkata, kes kedua pula melibatkan serbuan ke atas sebuah kediaman di Nibong Tebal, kira-kira pukul 12 tengah hari pada 14 Ogos lalu.

Katanya, dalam serbuan itu, sebanyak 115,340 batang rokok dan 635.52 liter minuman keras pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM147,567.56 telah disita untuk tindakan lanjut.

“Siasatan mendapati, modus operandi yang digunakan ialah dengan menyimpan kesemua rokok dan minuman keras tidak berkastam ini di rumah premis tidak berpenghuni sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“Ketika ini, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan, pemilik serta rangkaian pengedaran barang-barang tersebut,” ujar beliau.

Sementara itu katanya, kes ketiga juga melibatkan serbuan ke atas sebuah rumah teres tidak berpenghuni di Bukit Mertajam kira-kira pukul 1 petang pada 17 Ogos lalu.

Hasbollah berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya menemukan sebanyak 1,337,520 batang rokok pelbagai jenama bernilai kira-kira RM1,434,502.08 termasuk duti dan cukai yang dipercayai untuk diedarkan ke pasaran tempatan.

“Ketiga-tiga kes kini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v),” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×