Minyak mentah dijangka berada pada paras AS$90 setong tahun ini - Utusan Malaysia

Minyak mentah dijangka berada pada paras AS$90 setong tahun ini

HARGA minyak mentah dunia memerlukan tempoh masa setahun untuk stabil pada harga sebelum tercetusnya konflik Asia Barat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak mentah Brent diunjur berada pada paras AS$84 sehingga AS$90 setong bagi tahun kewangan 2026 berikutan ketidaktentuan pasaran yang menyaksikan harga semasa bergerak tidak menentu pada paras tinggi sekitar AS$99 hingga AS$100 setong.

Hari ini, harga minyak mentah Brent meningkat sebanyak 0.20 peratus kepada AS$103.29(RM421.12) setong berbanding RM405.43 pada Rabu.

Ketua Ekonomi Kumpulan AmBank, Firdaos Rosli berkata, pelarasan itu dipacu oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing membabitkan konflik AS-Iran serta pertempuran yang kembali sengit di Eropah Timur antara Rusia dan Ukraine.

Menurut beliau, kejutan tenaga berkenaan secara efektif mengganggu trend disinflasi global, sekali gus mengukuhkan keperluan kepada keadaan monetari global yang lebih ketat dan memburukkan lagi penyesuaian semula harga berterusan dalam pasaran bon berdaulat.

“Risiko kebarangkalian rendah sebenar akan berlaku sekiranya penyesuaian semula pasaran bon global dan kejutan tenaga berlaku secara serentak.

“Harga minyak yang lebih tinggi boleh mengekalkan inflasi pada paras tinggi, memaksa hasil bon naik dan memburukkan tekanan pasaran bon secara global,” katanya ketika Pembentangan Prospek Pasaran sempena Tinjauan Pasaran AmBank BizDialogue: Apakah Implikasi Realiti Ekonomi Malaysia terhadap Belanjawan 2027.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perbezaan antara harga spot dan harga hadapan juga semakin melebar berikutan pengetatan aliran bekalan serta peningkatan permintaan mendadak dalam jangka pendek berbanding jangka panjang.

Pada masa sama, rizab petroleum strategik (SPR) Amerika Syarikat (AS) semakin menyusut dan dijangka dimanfaatkan sepenuhnya menjelang pertengahan bulan depan, sekali gus menambah tekanan kepada pasaran fizikal.

Tambahnya, sekiranya harga minyak mentah kekal melonjak, ia berpotensi mencetuskan inflasi tenaga sebelum beralih kepada inflasi keseluruhan dan seterusnya mengundang tekanan kepada kadar upah.

“Keadaan ini mendorong bank-bank pusat dunia mengubah pendekatan daripada memotong kadar faedah kepada menaikkannya bagi mengawal risiko inflasi dan ketidakstabilan fiskal.

“Pelabur kini mula menuntut pulangan yang lebih tinggi berikutan peningkatan risiko ketidaktentuan struktur global,” tambah beliau.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×