Harmonikan budaya Jepun dengan budaya Islam

Harmonikan budaya Jepun dengan budaya Islam

Penulis (dua dari kiri) di hadapan Masjid al-Dakwah, Wakayama Jepun baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Kami berharap apabila masyarakat Jepun melangkah masuk ke Masjid al-Dakwah milik rakyat Malaysia di Wakayama, mereka berasa selesa dan mahu meluangkan lebih banyak masa di situ. Kami mahu mereka melihatnya sebagai masjid mereka juga, bukan sekadar rumah ibadat milik orang Arab, Pakistan, Indonesia atau Malaysia.”

Islam semakin berkembang di Jepun hasil kegigihan pendakwah daripada pelbagai latar belakang yang menjalankan usaha dakwah di negara itu. Namun, pada masa sama, sentimen negatif terhadap umat Islam turut wujud, khususnya akibat kempen beberapa kumpulan yang secara terbuka menentang Islam.

Dalam pada itu, terdapat juga segelintir Muslim warga asing yang kurang memahami budaya dan pantang larang masyarakat Jepun, sekali gus mencetuskan salah faham. Antaranya termasuk meletakkan kenderaan sesuka hati, membuat bising di tempat awam serta mengabaikan aspek kebersihan.

Penulis turut bekerjasama erat dengan saudara Zulkarnain Hasan Basri, Presiden Japan Dakwah Centre (JDC) di Osaka yang aktif menjalankan usaha dakwah di Jepun. Ditubuhkan pada 2019 hasil sumbangan derma, sedekah dan wakaf rakyat Malaysia berjumlah hampir RM4 juta, JDC sehingga kini berjaya membimbing 159 individu mengucapkan syahadah dan memeluk Islam.

Terbaharu, JDC giat menyiapkan Masjid al-Dakwah yang sedang dibina di Bandar Wakayama, Jepun. Projek berkenaan merupakan hasil kerjasama Persatuan Fajar Iman Matahari Terbit Malaysia (FIMT), badan bukan kerajaan yang menguruskan dana operasi JDC, Muslim Care Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia menerusi Ekspo 2025 di Osaka, selain sumbangan berterusan daripada rakyat Malaysia.

Pembinaan Masjid al-Dakwah ini menggunakan konsep mesra Jepun dengan falsafah ‘Wa’. Perkataan itu dalam bahasa Jepun membawa maksud harmoni, kedamaian serta keserasian dalam kumpulan.

Dalam budaya Jepun, konsep ‘Wa’ amat penting kerana membawa falsafah kehidupan yang menekankan keharmonian sesama manusia serta mengelakkan konflik yang tidak perlu.

Berbekalkan falsafah itu, bangunan JDC di Osaka dan Masjid al-Dakwah di Wakayama dibina berkonsepkan ‘Wa-Fu’, iaitu seni bina tradisional Jepun, bagi mewujudkan suasana yang selesa dan dekat dengan jiwa masyarakat Jepun yang berkunjung. Malah, JDC turut menggalakkan warga Jepun yang mengucapkan syahadah di pusat berkenaan mengenakan kimono atau yukata, pakaian tradisional yang menjadi sebahagian daripada identiti dan kebanggaan masyarakat Jepun.

Mengambil kira budaya dan uruf setempat dalam dakwah ialah sesuatu yang logik dan praktikal. Buktinya Allah menegaskan para Rasul diutus dengan bahasa sesuatu kaum:

Ertinya: Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka….(Ibrahim 14:4).
Allah juga berfirman:

Ertinya: Allah mengurniakan rahmat kepada orang beriman dengan mengutuskan Rasul daripada kalangan mereka sendiri untuk membacakan ayat-ayatNya, menyucikan jiwa serta mengajarkan al-Quran dan hikmah. (Surah Ali ‘Imran, 3:164)

Aspek bahasa dan bangsa dalam kedua ayat ini boleh difahami bersama budaya dan uruf setempat. Lebih-lebih lagi Islam mengiktiraf kepelbagaian bangsa dan budaya dalam dunia ciptaan Allah:

Ertinya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)… (al-Hujurat 49:13).

Cuti hujung semester Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 19 hingga 25 September 2026 dimanfaatkan penulis dengan kunjungan ke Jepun bagi meninjau perkembangan terkini pembinaan Masjid al-Dakwah yang dijangka siap pada November ini. Pada Isnin, 22 September, penulis bersama Zulkarnain turut berkunjung ke Masjid Shizuoka dan bertemu Dr. Yasin, Presiden serta Pengasas Persatuan Muslim Shizuoka yang menguruskan masjid berkenaan.

Di bawah kepimpinan Dr. Yasin yang berasal dari Maghribi, Masjid Shizouka dapat bertahan ketika gelombang kebencian terhadap Islam bertiup kencang.

Rahsianya, pengurusan Masjid Shizouka menjalin hubungan yang baik dengan pihak kerajaan tempatan. Kepatuhan kepada Ulil Amri atau pimpinan sesebuah tempat memang dituntut Islam.

Pihak kerajaan tempatan kemudiannya menghubungkan pengurusan masjid dengan masyarakat setempat, dan hasilnya amat menggalakkan. Masjid itu diterima sebagai sebahagian daripada komuniti setempat, sekali gus memperlihatkan strategi dakwah yang selari dengan konsep ‘wa’ seperti yang dijelaskan sebelum ini.

Justeru, JDC akan menggunakan pendekatan yang sama melalui pertemuan mahabbah dan keharmonian bersama pihak kerajaan tempatan Bandar Wakayama yang dijadualkan pada 1 November 2026.

Dalam pertemuan itu, JDC yang mewakili Muslim Malaysia akan menerangkan slam ialah agama universal yang mengutamakan keharmonian tanpa mengira bangsa. Islam bukan untuk ‘meng-Arabkan’ atau ‘me-Melayukan’ masyarakat Jepun, sebaliknya membawa nilai kebaikan dan rahmat yang boleh disesuaikan dengan budaya setempat.

JDC melalui FIMT berharap usaha membawa pendekatan Islam yang dekat dengan budaya Malaysia kepada masyarakat Jepun mendapat sokongan dan doa orang ramai.

Ikuti sabda Nabi SAW ini untuk menaikkan semangat dakwah anda:

Ertinya: Antara amalan yang terus mengiringi seseorang selepas kematiannya ialah ilmu yang bermanfaat, anak soleh, al-Quran yang diwariskan, masjid yang dibina, kemudahan untuk musafir, sungai yang dialirkan serta sedekah yang dilakukan sepanjang hayatnya.
(Sunan Ibn Majah, 242)

Penulis ialah Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×