Program ZTPP jamin hak pelancong domestik, antarabangsa - Utusan Malaysia

Program ZTPP jamin hak pelancong domestik, antarabangsa

PENGARAH KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo bersama Datuk Pandak Ahmad pada Majlis Pelancaran Zon Tumpuan Pelancongan Patuh (ZTPP) Peringkat Negeri Johor 2026 di Kampung Sungai Melayu, Iskandar Puteri disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pelaksanaan Program Zon Tumpuan Pelancongan PATUH (ZTPP) akan menjamin hak-hak pengguna termasuklah pelancongan domestik dan antarabangsa khususnya ketika mereka berbelanja di lokasi tarikan pelancong.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo sehubungan itu berkata, inisiatif ZTPP bakal menaikkan lagi imej sektor pelancongan bukan sahaja di Johor, tetapi di seluruh negara.

Menurut beliau, pelaksanaannya akan membolehkan keadilan kepada kedua-dua pihak pengusaha dan pembeli melibatkan produk dan perkhidmatan pelancongan yang ditawarkan.

“ZTPP merupakan inisiatif mewujudkan persekitaran perdagangan yang telus, berintegriti, selamat dan kondusif. Apabila dilaksanakan di lokasi pelancongan, ia dapat meningkatkan keyakinan terhadap amalan perdagangan beretika dan bertanggungjawab.

“Ini merupakan kesinambungan pendekatan Program Pasar Patuh yang telah dilaksana di pasar-pasar awam seluruh negeri. Sehubungan itu, program ZTPP ini akan diperluas ke banyak lagi lokasi-lokasi pelancongan lain seluruh Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian ZTPP Peringkat Negeri Johor fi Eko Pelancongan Kampung Sungai Melayu, di sini hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.

Tambah Lilis Saslinda, pelaksanaan inisiatif ini akan memberikan nilai tambah kepada kehadiran pelancong sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Johor 2026.

“Pada masa kita galakkan kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa, kita turut menjaga kebajikan mereka sekalipun meningkatkan lagi imej positif industri dan pemain pelancongan tempatan.

“Pengguna bukan sahaja dapat membandingkan harga produk dan perkhidmatan ditawarkan, tetapi dapat membuat keputusan perbelanjaan terbaik sekaligus mengelakkan sebarang tuntutan berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pandak yang juga Pengerusi Koperasi Penduduk Kampung Sungai Melayu berkata, pihaknya menyambut baik pelaksanaan inisiatif berkenaan melibatkan produk dan perkhidmatan ditawarkan sektor eko pelancongan di kawasan tersebut.

“Program ini akan menyokong pertumbuhan pelancongan tempatan, mereka yang mengunjungi kawasan ini tidak perlu berasa bimbang dengan harga-harga produk di sini. Saya yakin usaha ini akan bantu naikkan lagi sektor pelancongan tempatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×