17 kerusi baharu DUN Sarawak tidak dipertandingkan pada PRN akan datang

17 kerusi baharu DUN Sarawak tidak dipertandingkan pada PRN akan datang

RAMLAN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Sebanyak 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dijangka belum dapat digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun.

Beliau berkata tempoh penyelesaian kajian semula persempadanan kerusi terlibat akan mengambil masa lama melebihi Februari 2027 iaitu apabila mandat Kerajaan Negeri Sarawak tamat.

“Tempoh matang DUN Sarawak adalah pada Februari 2027, jadi berdasarkan kepada proses kerja yang kita perlu lalui saya menjangkakan kita tidak sempat guna jumlah kerusi baharu ini pada PRN akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan ke lokasi pameran syor Kajian Semula Persempadanan (KSP) Negeri Sarawak di Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di sini, hari ini.

Pada Julai tahun lepas, DUN Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 untuk menambah 17 kerusi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 99 kerusi.

Pada masa ini, Sarawak mempunyai 82 kerusi DUN.

Sementara itu, Ramlan berkata SPR telah menerima 18 bantahan terhadap KSP Negeri Sarawak setakat ini melibatkan pelbagai isu termasuk perubahan pusat daerah mengundi.

“Ada juga beberapa bantahan mengenai nama DUN tertentu di kawasan Sarikei, Bintulu dan Sibu. Perkara ini kita akan nilai dan memperincikan kemudian,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×