COO Tabung Haji tiba di mahkamah Shah Alam

COO Tabung Haji tiba di mahkamah Shah Alam

TABUNG HAJI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani hadir Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini bagi menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen.

Beliau dilihat sudah pun berada di dalam kamar mahkamah sekitar pukul 8 pagi tadi dengan memakai suit berwarna gelap dan berpelitup muka.

Adi Azuan, 56, dijangka berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu menerima barang berharga daripada individu yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi sebagai penjawat awam pada sembilan tahun lalu.

Beliau sepatutnya dituduh di mahkamah sama pada 3 September lalu, namun didapati gagal hadir apabila isterinya, Zureen Zainuddin memaklumkan suaminya itu dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak 31 Ogos selepas mengadu sakit dada.

Dokumen perubatan daripada pakar kardiologi hospital tersebut turut diserahkan oleh peguam kepada mahkamah bagi mengesahkan status dan ketidakhadiran Adi Azuan pada tarikh berkenaan.

Tertuduh merupakan antara lima pegawai kanan TH dinamakan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) susulan dapatan mendedahkan tindakan tatatertib terhadap mereka melibatkan beberapa kes salah laku serius yang kemudian diringankan selepas rayuan.

Menurut laporan RCI, tindakan tatatertib itu melibatkan empat isu utama termasuk penjualan saham PT TH Indo Plantations, sumbangan RM22.12 juta kepada Yayasan Tabung Haji tanpa kelulusan menteri, pengisytiharan agihan keuntungan hibah 2017 serta tuntutan palsu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×