BESUT: Kadar kebolehpasaran graduan politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara direkodkan melebihi 98 peratus pada tahun lalu yang mengatasi sasaran kebolehpasaran graduan di peringkat nasional.
Pengarah Kanan (Kompetensi) Kementerian Pendidikan Tinggi, Dr. Zamzam Mohd. Walid berkata, pencapaian itu menunjukkan graduan politeknik dan kolej komuniti mempunyai kebolehpasaran yang tinggi serta boleh menceburi pelbagai bidang selepas tamat pengajian.
“Lebih daripada 98 peratus ini direkodkan bagi politeknik dan kolej komuniti pada 2025 dan ia adalah keseluruhan institusi serta semua bidang yang ditawarkan.
“Daripada keseluruhan graduan yang direkodkan dalam kategori kebolehpasaran itu, padanan pekerjaan dengan bidang pengajian adalah sekitar 50 hingga 60 peratus.” katanya pada program Creativ3 Xperience Festival 2026 (CXF’2026): Ulir dan Ukir di Politeknik Besut di sini, semalam.
Katanya, keadaan tersebut turut dipengaruhi perubahan landskap pekerjaan yang menyebabkan graduan tidak semestinya kekal dalam satu bidang kemahiran sepanjang tempoh kerjaya mereka.
Sementara itu, Zamzam berkata, penglibatan industri dalam reka bentuk kurikulum menjadi antara pendekatan penting bagi memastikan kemahiran yang diajar di politeknik dan kolej komuniti kekal relevan dengan keperluan pasaran pekerjaan.
“Tujuannya supaya apa yang diajar sepadan dengan keperluan industri dan pelajar mempunyai pengetahuan asas berkaitan industri sebelum memasuki alam pekerjaan,” katanya.-UTUSAN.











