KUANTAN: Tindakan penguatkuasaan pencerobohan tanah secara haram di Pahang bukan ditumpukan terhadap masyarakat Orang Asli sebaliknya menyasarkan penceroboh berskala besar yang mengaut keuntungan tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang masalah dengan masyarakat Orang Asli yang mengusahakan tanah dalam skala kecil bagi keperluan tempat tinggal dan sumber pendapatan keluarga.
Sebaliknya, beliau mendedahkan terdapat penceroboh tanah yang mengambil kesempatan atas kewujudan masyarakat Orang Asli di sesuatu kawasan bagi menjalankan kegiatan penerokaan haram secara meluas.
“Tindakan tegas perlu diambil bagi mengelakkan kawasan Hutan Simpan Kekal, kawasan tadahan air dan taman negara daripada terus terjejas akibat kegiatan berkenaan.
“Jika kita biarkan, pertama sekali hutan simpan musnah dan rosak, kawasan tadahan air berkurangan serta taman egara juga menjadi tidak terkawal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Syed Ibrahim memberi jaminan kerajaan negeri sentiasa peka terhadap kepentingan masyarakat berkenaan termasuk memastikan keperluan asas, tempat tinggal dan sumber pendapatan mereka.
“Tempat tanah mereka hendak berumah tangga, kita tidak kacau. Mereka hendak mencari rezeki seekar dua untuk tanam getah, tanam sawit untuk dia dan keluarga, kita tidak ganggu.
“Sebab itu apabila saya berjumpa dengan masyarakat Orang Asli, saya minta senarai nama mereka yang betul-betul tinggal di situ dan lot tanah mereka supaya kita dapat bantu,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, penceroboh yang kehilangan sumber pendapatan akibat tindakan penguatkuasaan cuba membentuk persepsi seolah-olah kerajaan negeri menzalimi masyarakat Orang Asli.
“Yang menceroboh tanah itu mesti rasa tidak seronok sebab selama ini dia sudah buat ribu hektar, dia dapat pendapatan.Tapi bila kerajaan ambil tindakan, dia mesti terasa terhimpit dan buat gerakan untuk menampakkan kononnya kerajaan negeri menzalimi Orang Asli,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan masyarakat Orang Asli malah pelbagai usaha dan infrastruktur terus dilaksanakan bagi meningkatkan kesejahteraan serta pembangunan komuniti berkenaan.
“Masyarakat Orang Asli ini kita tatang, kita jaga. Yang sekolah kita beri bantuan, yang hendak masuk universiti kita bantu, yang tidak ada rumah kita betulkan dan yang langsung tidak ada tempat tinggal kita bina rumah.
“Jika kampung jauh, kita bina sekolah. Nak masjid, kita buat masjid. Nak balai raya, kita bina balai raya dan nak jalan, kita buat jalan. Pendek kata, tidak terhitung usaha kerajaan dalam memajukan dan menjaga nasib masyarakat Orang Asli,” katanya.-UTUSAN.











