SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese mempertahankan draf kawal selia baharu berkaitan media sosial selepas pentadbiran Washington memberi amaran perundangan berkenaan boleh membawa kepada amalan penapisan maklumat.
Menerusi satu kenyataan pada Selasa, Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Canberra membangkitkan kebimbangan serius terhadap draf undang-undang yang bakal mengenakan kewajipan tanggungjawab ke atas syarikat gergasi media sosial.
Mengulas mengenai kenyataan Washington itu, Albanese memberitahu wartawan di New York, beliau akan sentiasa meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan.
“Ini bukan soal memberi kawalan kepada kerajaan, tetapi ia adalah mengenai mengembalikan semula kawalan kepada rakyat ke atas apa yang mereka terima pada peranti masing-masing.
“Atas sebab itulah undang-undang ini digubal sedemikian rupa,” tambahnya lagi.
Di bawah draf undang-undang berkenaan, syarikat gergasi media sosial berdepan hukuman denda sehingga A$109 juta (RM315 juta) sekiranya gagal melindungi pengguna muda daripada kandungan yang berbahaya.
Platform media sosial akan dipertanggungjawabkan bagi memastikan pengguna berusia bawah 18 tahun terhindar daripada bahan pornografi, buli siber, kandungan yang mengagungkan jenayah serta bahan yang menggalakkan kecelaruan pemakanan.
Perundangan itu turut merangkumi syarat yang mewajibkan platform memberi pilihan kepada pengguna untuk menolak penggunaan algoritma berkuasa tinggi yang menentukan paparan pada garis masa media sosial mereka.
Draf undang-undang berkenaan dijangka akan dibentangkan di Parlimen Australia akhir tahun ini selepas proses konsultasi bersama syarikat media sosial, badan industri dan kumpulan masyarakat sivil selesai dijalankan.
Dalam pada itu, Kedutaan AS di Canberra memberi amaran draf undang-undang tersebut boleh membenarkan pihak kawal selia mengenakan syarat reka bentuk platform yang tegar dan bersifat sewenang-wenangnya.
“Satu kerangka kerja yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk menguatkuasakan definisi ‘bahaya’ yang kabur berisiko menjadi mekanisme kepada penapisan pandangan,” menurut kenyataan kedutaan itu lagi.
Pihak kedutaan turut menekankan undang-undang tersebut sebahagian besarnya menjejaskan syarikat teknologi mereka dan dianggap cuba menyekat kebebasan bersuara rakyat AS di internet.
Australia sebelum ini menguatkuasakan perundangan yang melarang kanak-kanak daripada menggunakan platform media sosial pada Disember 2025, sebagai sebahagian daripada tindakan tegas pertama di dunia yang dirangka bagi melindungi golongan muda daripada buli siber dan algoritma pemangsa.
Langkah drastik Canberra itu kemudiannya turut dicontohi oleh beberapa negara lain termasuk Britain dan Perancis.-AFP











