LIVERPOOL: Beberapa remaja seawal usia 13 tahun di United Kingdom (UK) kini dirujuk ke sebuah klinik pakar bagi merawat penyakit pundi kencing kronik yang dikaitkan dengan kesan penyalahgunaan dadah jenis ketamin secara berterusan.
Pasukan perubatan di Hospital Kanak-Kanak Alder Hey di Liverpool bertindak membuka klinik khas ketamin pertama di UK khusus bagi golongan muda berikutan lonjakan kes kerosakan saluran kencing yang berpunca daripada ketagihan bahan terlarang itu.
Hasil analisis awal terhadap kumpulan pesakit pertama yang menerima rawatan di klinik berkenaan menunjukkan sebahagian daripada mereka seawal umur 13 tahun, di mana majoritinya terdiri daripada remaja perempuan yang menetap di kawasan berpendapatan rendah.
Berita berkaitan:
Masalah uropati akibat ketamin merupakan kerosakan teruk yang amat menyakitkan apabila sisa dadah merosakkan dinding pundi kencing, saluran kencing dan buah pinggang.
Antara gejala utama penyakit ini termasuk kesukaran mengawal pembuangan air kecil, kekerapan kencing yang ekstrem serta kencing berdarah.
Ekoran kerosakan organ yang dialami, sesetengah remaja yang terjejas kini terpaksa menggunakan lampin pakai buang dan menyediakan baldi di tepi katil pada waktu malam akibat masalah kencing tidak lawas.
Pakar Perunding Urologi Pediatrik di Hospital Kanak-Kanak Alder Hey, Harriet Corbett mengesahkan komplikasi daripada ketagihan bahan berkenaan boleh membawa kesan buruk yang kekal sepanjang hayat.
“Kerosakan yang disebabkan oleh ketamin boleh membawa kesan yang amat membimbangkan. Ia boleh menjejaskan dinding pundi kencing, menyebabkan ulser serta fibrosis dan kesannya mungkin tidak boleh dipulihkan semula.
“Pesakit muda berdepan kesakitan kronik serta ketidakmampuan mengawal untuk membuang air, manakala dalam kes yang paling kritikal, pesakit mungkin memerlukan pembedahan berskala besar atau menjalani rawatan dialisis,” katanya.-AGENSI











