Lithuania lulus pindaan Perlembagaan benarkan pemilikan senjata nuklear

Lithuania lulus pindaan Perlembagaan benarkan pemilikan senjata nuklear

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VILNIUS: Parlimen Lithuania meluluskan pindaan Perlembagaan yang akan membatalkan larangan memiliki senjata nuklear, membawa negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu selangkah lebih dekat untuk membenarkan senjata berkenaan ditempatkan di wilayahnya.

Russia memberi amaran kepada negara Baltik yang bersempadan dengan wilayah Kaliningrad itu, langkah berkenaan akan membawa implikasi besar terhadap keselamatannya.

Cadangan itu disokong 99 anggota Parlimen, manakala 13 mengundi menentang dan lima berkecuali. Dua lagi undian diperlukan, masing-masing dijadualkan pada 6 Oktober dan 12 Januari 2027.

Sekurang-kurangnya 94 daripada 141 anggota Parlimen Lithuania perlu menyokong pindaan itu dalam setiap undian.

Pindaan berkenaan akan memansuhkan Perkara 137 Perlembagaan Lithuania yang melarang senjata pemusnah besar-besaran serta pangkalan tentera asing di wilayah negara itu.

Penyokong pindaan berhujah peruntukan itu tidak lagi mencerminkan keperluan keselamatan Lithuania, manakala pihak yang menentang menyuarakan kebimbangan mengenai kedaulatan negara dan menggesa isu itu diputuskan melalui referendum.

Presiden, Gitanas Nauseda menyokong pemansuhan sekatan itu, manakala pegawai Lithuania mendakwa membenarkan senjata nuklear ditempatkan di negara berkenaan akan mengukuhkan usaha mencegah ancaman Russia.

Russia berulang kali menolak dakwaan negara itu berhasrat menyerang negara anggota NATO.

Jurucakap Kementerian Luar Russia, Maria Zakharova minggu lalu menyifatkan cadangan perubahan itu sebagai amat tidak bertanggungjawab, sambil menuduh anggota NATO mengamalkan dasar provokatif dan menjadikan Lithuania sebagai pangkalan berpotensi untuk melancarkan tindakan terhadap Moscow.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov turut memberi amaran Lithuania akan menjadi sasaran Russia sekiranya negara itu membenarkan senjata nuklear asing ditempatkan di wilayahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×