Saya rindu berlakon genre romantik dan drama - Zul Ariffin - Utusan Malaysia

Saya rindu berlakon genre romantik dan drama – Zul Ariffin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kerap muncul menerusi filem bergenre aksi atau naskhah yang mengangkat kisah curang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mungkin ramai yang merindui aktor, Zul Ariffin membintangi drama berunsurkan romantik. 

Turut mengakui perkara yang sama, pemilik nama Zulkifli Ariffin itu tidak menganggap genre yang pernah mengangkat namanya ke persada seni tanah air itu sekadar ‘celah gigi’ untuk dijayakan selepaa l sekian lama tidak menjayakannya.

Menurut Zul, tempoh panjang sesebuah drama turut memainkan peranan penting bagi setiap pelakon untuk mengembangkan watak dan membina interaksi bersama pasangan gandingan.

“Saya bermula dengan banyak drama. Kalau sebuah drama mempunyai 20 episod dan kita memegang watak utama, anggaplah kita mempunyai sekitar 20 jam untuk mengembangkan watak. Kalau filem, kita hanya ada sekitar satu setengah hingga dua jam.

“Saya banyak berlatih menerusi platform drama, telemovie dan televisyen. Jadi, saya lebih terbiasa dengan medium itu berbanding filem.

“Bukan bermaksud genre romantik itu susah, tetapi kalau kita tersilap, penonton boleh nampak. Paling penting tentunya keserasian dengan heroin supaya interaksi itu tidak membosankan untuk ditonton,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kini muncul menerusi drama Takdirnya Cinta, pelakon berusia 40 tahun itu mengakui rasa rindu untuk menjayakan genre sebegitu membuatkan dirinya terbuka hati untuk mencuba sekali lagi menerusi naskhah tersebut. 

“Saya sebenarnya rindu berlakon genre romantik dan drama. Sekarang, sama ada di platform penstriman (OTT) atau televisyen, kebanyakan cerita lebih menjurus kepada isu suami isteri dan kecurangan.

“Kalau tidak silap, komedi romantik banyak sekitar lapan hingga 10 tahun lalu ketika saya masih di peringkat awal membintangi drama. Harap-harap genre itu akan kembali kerana saya memang sangat sukakannya.

“Komedi romantik atau kisah cinta bergerak dengan cara berbeza. Perjalanannya cantik, ada sisi comel dan perkara-perkara kecil yang membuatkan penonton tersenyum atau tersengih ketika menonton di rumah,” jelasnya.

Drama medan asah bakat

Dalam pada itu, Zul turut berkongsi pandangannya mengenai trend segelintir pelakon baharu yang dilihat lebih cenderung memilih filem atau OTT berbanding drama televisyen.

Tidak menyalahkan pilihan tersebut, Zul menyifatkan setiap pelakon mempunyai pertimbangan sendiri dalam menentukan perjalanan kerjaya termasuk dari aspek tawaran dan bayaran.

“Saya tidak pasti bagaimana penilaian pelakon baharu sekarang terhadap drama televisyen. Mungkin sekarang dari segi bayaran dan banyak perkara sudah berubah berbanding 10 tahun lalu.

“Mungkin mereka mengejar projek dengan bayaran premium atau produksi tertentu. Saya tidak menyalahkan mereka. Tetapi kalau mahu mengasah lagi kemampuan sebagai pelakon, bagi saya drama adalah antara platformnya,” tegasnya.

Tambah Zul, drama televisyen mampu melatih setiap pelakon cara pengawalan emosi bagi setiap babak mahupun episod, selain mengekalkan momentum watak dalam tempoh penggambaran yang panjang.

“Drama banyak bermain dengan elemen melodramatik dan emosi. Selepas satu episod, datang pula episod seterusnya dan kita perlu bermain dengan emosi sekali lagi.

“Memang boleh sampai berpinar mata, tetapi itu bagus untuk melatih diri sebagai pelakon. Apabila suatu hari kita mendapat peluang yang lebih besar, kita sudah bersedia,” ujarnya.

Dalam masa sama, pelakon versatil itu berpendapat televisyen juga mempunyai kelompok penonton tersendiri, malah dia tidak melihat drama sebagai medium yang harus ditinggalkan meskipun sudah lama aktif dalam industri.

“Ada ramai orang yang tidak pergi ke pawagam tetapi mereka menonton televisyen dan drama. Penonton wayang dan penonton televisyen merupakan dua kelompok yang berbeza.

“Saya sudah melalui transisi daripada televisyen kepada filem dan bagi saya tiada masalah. Saya sentiasa rindukan televisyen. Ramai juga yang sudah lama tidak tengok saya di televisyen.

“Saya rasa orang yang mengenali dan mengikuti hasil kerja saya sejak dahulu turut merindui perkara itu. Sebab itu saya masih mahu buat drama,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×