Majlis Raja-Raja perlu teliti krisis Negeri Sembilan

Majlis Raja-Raja perlu teliti krisis Negeri Sembilan

LALUAN ke Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.-UTUSAN/ MOHD SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Majlis Raja-Raja perlu meneliti proses berhubung kedudukan Raja Pemerintah dan Undang Luak di Negeri Sembilan bagi memastikan setiap tindakan yang diambil mematuhi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Barisan Peguam Adat Melayu Negeri Sembilan dalam kenyataan memaklumkan, penelitian itu termasuk berkaitan penurunan takhta dan penggantian Yang di-Pertuan Besar serta Undang Luak.

“Sehubungan itu, kami berpandangan bahawa Majlis Raja-Raja mempunyai kedudukan istimewa dalam sistem pemerintahan negara apabila sesuatu isu menyentuh kedudukan, keistimewaan dan kehormatan institusi raja.

“Kami menyembah mohon limpah perkenan Majlis Raja-Raja agar meneliti proses yang telah berlaku bagi menilai dan memberi nasihat sama ada setiap tindakan yang diambil, khususnya berkaitan penurunan takhta dan penggantian Yang di-Pertuan Besar serta Undang Luak, telah dilaksanakan menurut peruntukan UUTKNS 1959 dan mengikut rule of law,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, menurut kenyataan tersebut, permohonan berkenaan wajar dibezakan daripada percubaan mengambil alih fungsi pihak berkuasa negeri di bawah UUTKNS 1959.

“Melalui kaedah ini, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja tidak menggantikan fungsi badan berkuasa berkenaan, sebaliknya berperanan meneliti semula, memberi nasihat, dan memastikan proses yang berlaku menepati kehendak undang-undang,” katanya.

Katanya, peranan itu boleh dilihat sebagai sebahagian daripada tafsiran jaminan Persekutuan di bawah Perkara 71(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan, khususnya dalam keadaan yang telah mencapai tahap kritikal seperti sekarang.

“Kami turut menekankan bahawa fungsi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja di bawah Perkara 71(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan adalah berbeza daripada peranan pihak berkuasa negeri dalam menjalankan prerogatif dan kuasa mengikut kerangka perlembagaannya sendiri,” katanya.

Kenyataan itu turut menegaskan, krisis berkenaan tidak wajar dinilai hanya berdasarkan perkembangan terkini, sebaliknya perlu dilihat berdasarkan keseluruhan kronologi peristiwa.

Menurutnya, rangkaian peristiwa itu bermula daripada mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 5 Mac lalu, diikuti perkembangan pada 17 April dan keputusan empat Undang pada 19 April lalu .

“Setiap peringkat proses ini mempunyai kaitan langsung dengan kedudukan Yang di-Pertuan Besar dan Undang Luak perlu diteliti secara berurutan, bukan secara terpisah,” katanya.

Dalam pada itu, barisan peguam itu turut berpandangan isu berkaitan kedudukan raja dalam krisis berkenaan tidak terhad kepada Yang di-Pertuan Besar semata-mata.

Katanya, pelucutan jawatan Undang Luak Sungei Ujong dan lain-lain Undang Luak turut menyentuh kedudukan raja di bawah tafsiran UUTKNS 1959 memandangkan Undang Luak juga membawa taraf sedemikian dalam kerangka perlembagaan negeri.

“Justeru, mana-mana pihak yang mendakwa mempertahankan institusi Raja Negeri Sembilan tidak wajar mengamalkan sebarang bentuk diskriminasi layanan antara Yang di-Pertuan Besar dan Undang-Undang Luak yang terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, barisan peguam itu turut menegaskan bahawa pihak berkuasa Persekutuan seperti Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak sewajarnya mencampuri urusan kenaikan atau penurunan takhta yang telahpun diperuntukkan secara khusus di bawah UUTKNS 1959.

“Kami menegaskan bahawa pihak berkuasa Persekutuan seperti Perdana Menteri dan Pejabat Peguam Negara tidak sewajarnya campur tangan dalam urusan kenaikan atau penurunan takhta yang telahpun diperuntukkan secara khusus di bawah UUTKNS 1959, apatah lagi untuk menyatakan pengiktirafan secara semberono tanpa memahami fakta dan situasi sebenar dan mengambil pendirian berpihak,” katanya.

Sehubungan itu, mereka juga berharap penelitian oleh Majlis Raja-Raja dapat dilaksanakan secara adil dan saksama serta secepat mungkin bagi memelihara hak raja dan keutuhan UUTKNS 1959 sebagaimana dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×