Kes tipu pelaburan: MHO desak AGC siasat syarikat lain dikait pengarah sama

Kes tipu pelaburan: MHO desak AGC siasat syarikat lain dikait pengarah sama

HISHAMUDDIN bersama 66 orang mangsa yang hadir mengemukakan aduan kepada Jabatan Peguam Negara, di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendesak Jabatan Peguam Negara (AGC) memperluaskan siasatan terhadap syarikat lain yang dikaitkan dengan pengarah sama dalam kes penipuan pelaburan i-RPS.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya meminta supaya syarikat kedua dan ketiga yang mempunyai kaitan dengan pengarah serta ejen pemasaran terbabit turut disiasat dan dipertimbangkan untuk pendakwaan.

Katanya, permintaan itu dibuat selepas pendakwaan sebelum ini hanya membabitkan salah satu syarikat yang menawarkan pelaburan berkenaan.

“Tujuan kita hari ini adalah meminta supaya syarikat-syarikat yang lain yang belum lagi dituduh juga disiasat dan dituduh, iaitu syarikat kedua dan syarikat ketiga yang ada kaitan dengan pengarah-pengarah ini dan ejen pemasaran yang menawarkan pelaburan-pelaburan ini,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan surat aduan kepada Jabatan Peguam Negara di sini, hari ini.

Sementara itu, salah seorang mangsa, Bustami, 56, berkata, beliau sebelum ini telah dipanggil beberapa agensi untuk memberikan keterangan berhubung kes berkenaan.

“Saya telah dipanggil oleh beberapa agensi untuk memberi keterangan. Tetapi malangnya kami dapati kes kami tu tak dibawa. Walaupun pengarah dia, orang-orang yang terlibat adalah orang yang sama, hanya syarikat berbeza,” katanya.

Dalam pada itu, Hishamuddin berkata, MHO berharap AGC dapat membuat koordinasi dengan agensi penyiasatan serta bahagian pendakwaan bagi memastikan tindakan turut dikenakan terhadap syarikat lain.

MHO sebelum ini memaklumkan individu berkaitan telah dikenakan pertuduhan, namun terdapat sebuah lagi syarikat berkaitan yang belum dikenakan pertuduhan terhadap individu terbabit.

MHO berkata, walaupun individu sama telah dikenakan pertuduhan, fakta transaksi bagi setiap syarikat adalah berbeza dan pihaknya mahu perkara itu turut diberikan perhatian oleh AGC.

Sebelum ini, seramai 210 individu terpaksa menanggung kerugian berjumlah sebanyak RM101.7 juta akibat menjadi mangsa penipuan pelaburan saham hartanah dan skim saham boleh tebus syariah (i-RPS). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×