Mengapa warga emas terus diperdaya?

Mengapa warga emas terus diperdaya?

RAMAI warga emas hari ini mahir menggunakan telefon pintar, namun kemahiran menggunakan teknologi tidak semestinya melindungi seseorang daripada manipulasi emosi. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAZIMNYA, scammer tidak terus meminta wang. Mereka terlebih dahulu membina hubungan. Memberikan perhatian dan membuat mangsa rasa dihargai.

Bagi mendapatkan kepercayaan mangsa, mereka sering menyamar sebagai golongan profesional. Ada doktor, juruterbang, jurutera atau ahli perniagaan. Apabila kepercayaan sudah terbina, pelbagai masalah mula timbul. Sakit, terkandas di luar negara atau memerlukan wang untuk urusan perniagaan. Tanpa ragu, mangsa yang percaya akan menyalurkan bantuan. Akhirnya, lesap semua wang persaraan atau wang simpanan.

Namun, cinta bukan satu-satunya senjata scammer. Ada juga yang menggunakan ketakutan untuk memperdaya mangsa. Ada scammer menyamar sebagai pegawai polis atau pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Warga emas ditakut-takutkan dengan dakwaan maklumat peribadi mereka dikaitkan dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang. Bagi mengelakkan tindakan undang-undang, mangsa diarahkan supaya mematuhi segala arahan yang diberikan.

Dalam keadaan panik dan ketakutan, seringkali mangsa menurut semua arahan. Ini termasuk memindahkan wang ke akaun yang kononnya digunakan untuk tujuan siasatan.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan seorang warga emas mengalami kerugian RM1.9 juta selepas diperdaya sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis. Jumlah itu bukan sedikit. Ia mungkin merupakan wang persaraan, hasil simpanan sepanjang hayat atau harta yang sepatutnya digunakan untuk menampung kehidupan pada usia tua.

Selain cinta dan ketakutan, scammer juga menggunakan umpan ‘harapan’. Melalui skim pelaburan palsu, mereka menawarkan pulangan lumayan. Pulangan akan diperoleh dalam tempoh singkat, tanpa sebarang risiko.

Pelbagai testimoni, keuntungan dan gaya hidup mewah ditunjukkan. Namun, apabila wang dilaburkan, segalanya berubah. Keuntungan tidak diterima, malah pelbagai bayaran tambahan pula diminta. Akhirnya, wang pelaburan asal terus lesap.

Persoalannya, mengapa warga emas masih boleh diperdaya? Adakah kerana mereka tidak celik teknologi? Tanggapan ini tidak semestinya benar. Ramai warga emas hari ini mahir menggunakan telefon pintar, namun kemahiran menggunakan teknologi tidak semestinya melindungi seseorang daripada manipulasi emosi.

Scammer mengeksploitasi perasaan manusia seperti kasih sayang, ketakutan, harapan dan kepercayaan. Sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa apabila berada dalam keadaan tertekan atau terlalu mempercayai seseorang.

Ada mangsa yang memilih untuk tidak melaporkan kejadian penipuan seperti ini. Ada yang malu. Ada pula yang takut dimarahi ahli keluarga. Justeru, kesedaran warga emas tentang pelbagai taktik penipuan perlu terus dipertingkatkan.

Mereka perlu dibimbing untuk mengenal pasti tanda-tanda awal. Mereka perlu membiasakan diri mengesahkan sebarang permintaan wang sebelum melakukan transaksi. Sekiranya mengesyaki diri ditipu, mereka perlu segera bertindak. Contohnya, hubungi pihak bank dan buat laporan polis. Jangan malu atau takut untuk mendapatkan bantuan ahli keluarga.

Hakikatnya, kejahatan tidak semestinya hadir dalam bentuk kekerasan dan ugutan. Ada yang datang dengan kata-kata cinta. Ada yang membawa janji keuntungan lumayan.

Walau apa pun pendekatannya, matlamat scammer tetap sama. Bagi warga emas, menjadi mangsa penipuan bukan sekadar mengakibatkan kerugian kewangan. Malah turut menjejaskan kesejahteraan dan kualiti hidup.

Sudah tiba masanya kita bersama-sama memainkan peranan melindungi golongan ini. Jangan tunggu sehingga semua wang mereka lesap.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. NORHAFIZA NORDIN & DR. RABIHAH MD. SUM
Universiti Utara Malaysia (UUM) & Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×