INSIDEN mempersendakan Rukun Negara yang tular ketika ini bukan sekadar isu ‘persembahan pentas’ atau kekhilafan individu memuat naik kandungan media sosial tetapi pencabulan terhadap ikrar penting yang membina kewujudan negara ini.
Apabila benteng asas keharmonian dijadikan bahan jenaka, sudah pastinya membawa isyarat tidak sihat iaitu kebiadaban yang cuba dihiasi dengan seni dan hiburan, manakala slogan ‘kebebasan bersuara’ digunakan bagi mengaburi tujuan sebenar iaitu ‘kebebasan menghina’.
Isu ini bukan lagi sekadar krisis identiti sebagai rakyat Malaysia tetapi juga berkaitan adab yang sedang merobek fabrik sosial kita.
Entah di mana silapnya, sempadan antara seni hiburan dan unsur sensitif dilihat semakin kabur. Hiburan sewajarnya bertujuan melapangkan minda, menenangkan jiwa dan meredakan tekanan kehidupan disamping menyampaikan mesej yang baik kepada masyarakat.
Jenaka atau seni kreatif tidak lagi boleh dipanggil hiburan apabila mula menyentuh sensitiviti agama, kaum dan adat resam. Malangnya, terdapat segelintir individu yang berselindung di sebalik frasa ‘sekadar gurauan’ atau ‘kebebasan bersuara’ semata-mata untuk mengaburi mata umum daripada tindakan melampau mereka.
Tindakan membakar api provokasi antara kaum, sama ada secara halus atau terang-terangan, ialah perbuatan pengkhianatan terhadap keamanan yang dinikmati hari ini. Hubungan kaum di Malaysia tidak boleh terus dibiarkan menjadi bahan pertaruhan oleh mana-mana pihak yang mahu meraih populariti singkat.
Selama berdekad, kita terlalu selesa dengan istilah ‘toleransi’. Apabila toleransi nipis, sedikit provokasi sudah cukup untuk mencetuskan prasangka dan kebencian. Sampai bila keadaan ini akan berterusan?
Kita mesti menggantikan sangka buruk, sindir menyindir, sikap memandang rendah antara kaum dengan kasih sayang dan rasa hormat yang mendalam.
Nilai kasih sayang dan sikap menghormati antara kaum mestilah disemai semenjak dari kecil. Generasi muda perlu ditekankan yang kemerdekaan dan keharmonian dimiliki hari ini dibayar dengan harga mahal.
Anak-anak perlu dididik dengan nilai kebersamaan dan dijelaskan yang keharmonian boleh musnah dalam kelipan mata jika provokasi berterusan tanpa sebarang tindakan.
Tindakan tegas pihak berkuasa diperlukan bagi memberi pengajaran kepada mereka yang menghina Rukun Negara. Tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang dan keharmonian negara tidak boleh dijadikan bahan jenaka.
Namun, penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak cukup jika masyarakat terus bersikap acuh tak acuh. Kita perlu membina keberanian moral untuk menolak, menegur, dan membenci sebarang bentuk provokasi kaum di sekeliling kita.
Rukun Negara ialah pasak kehidupan sebagai rakyat Malaysia. Menggoncang pasak ini bermakna meruntuhkan bumbung tempat kita berteduh.
Hentikan tindakan mempersendakan simbol perpaduan. Kembalilah kepada asas hormat-menghormati dan semailah kasih sayang antara kaum sebelum api prasangka merobek tanah air yang kita cintai ini.-UTUSAN
FARAH HANI HAMZAN
Institusi Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs)











