KUALA KRAI: Seorang ibu kepada enam anak memohon sumbangan orang ramai bagi membaiki bumbung rumahnya yang rosak selepas dihempap pokok tumbang.
Kejadian itu berlaku ketika hujan lebat dan ribut yang melanda Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Chenulang, Kuala Krai, Kelantan, pada 17 September lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 petang itu, bumbung rumah papan berusia lebih 50 tahun yang didiami Rozilawani Mohamad Nor, 58, bersama seorang anak lelakinya mengalami kerosakan selepas dihempap sebatang pokok.
Rozilawani berkata, ketika kejadian, dia sedang berehat di dalam bilik tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat yang menyebabkan rumahnya bergegar.
https://www.facebook.com/reel/1577378363413092 (Video kejadian – sumber media sosial).
“Ketika itu, hujan memang lebat dan angin pula bertiup kencang. Tidak lama kemudian, saya tiba-tiba terdengar satu dentuman kuat yang menghempap bumbung rumah sehingga menyebabkan rumah bergegar.

“Saya betul-betul panik dan hanya mampu berdoa kepada Allah agar kami selamat. Saya kemudian bergegas keluar dari bilik dan memanggil anak lelaki yang juga sedang berehat di dalam bilik berasingan.
“Sebaik sahaja keluar dari bilik, saya melihat sebatang pokok bachang tumbang menghempap bumbung rumah sehingga menyebabkan atap rosak dan bocor di beberapa bahagian,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Rozilawani, penduduk kampung termasuk Penghulu Mukim Chenulang, Ab Aziz Isa dan anggota bomba datang membantu memotong dahan pokok yang tumbang menghempap rumahnya.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pasukan bomba, penghulu dan jiran-jiran yang datang membantu. Terima kasih juga kepada Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah yang turut datang.
“Bagaimanapun, bumbung rumah saya sudah rosak dan bocor. Sekarang ini, saya hanya mampu berdoa agar hujan tidak turun kerana jika hujan, air akan masuk ke dalam rumah.
“Saya perlu segera membaiki bumbung rumah yang bocor, tetapi tidak mempunyai wang untuk berbuat demikian. Sebab itu, saya sangat mengharapkan bantuan orang ramai untuk membantu membaik pulih bumbung rumah ini,” katanya.
Rozilawani yang sudah berpisah dengan suaminya lebih setahun lalu berkata, dia menghidap penyakit jantung dan tidak mampu melakukan kerja berat bagi mencari pendapatan untuk menampung perbelanjaan harian.
Katanya, dia bergantung kepada bantuan anak-anak untuk meneruskan kehidupan, namun mereka juga berdepan kesempitan hidup.
“Kadang-kadang ada anak yang membantu perbelanjaan saya dan kadang-kadang tiada kerana mereka juga hidup susah,” katanya.
Menurut Rozilawani, rumah yang didiaminya itu merupakan peninggalan Allahyarham bapanya, Mohamad Nor Abdullah dan ibunya, Zaharah Mahmood yang meninggal dunia lebih tiga tahun lalu.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Rozilawani di talian 019-414 0370 atau menyalurkan bantuan ke akaun Bank Islam bernombor 0307 2022 2275 55 atas nama Rozilawani Mohamad Nor. – UTUSAN











